SUBANG - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengaktifkan Smart Lane di 32 lokasi tumpuan lebuh raya bagi melancarkan pergerakan trafik di kawasan kritikal sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, pelaksanaan itu membabitkan 19 lokasi di Wilayah Tengah, lima di Wilayah Utara dan lapan di Wilayah Selatan.
Menurutnya, apabila Smart Lane diaktifkan, lorong paling kiri akan dibuka sebagai laluan tambahan untuk pengguna lebuh raya.
"Biasanya, kita mengaktifkan Smart Lane apabila keadaan trafik semakin sesak sekali gus dapat membantu meleraikan kesesakan di kawasan berkenaan sehingga 25 peratus.
"Jika trafik sudah kembali lancar, lorong tersebut akan ditutup. Namun, sekiranya kesesakan berlanjutan sehingga waktu malam, pengoperasian dibenarkan sehingga jam 10 malam.
"Pengguna boleh mengenal pasti pengaktifan Smart Lane menerusi papan tanda peringatan serta lampu hijau berkelip di lokasi," katanya dalam sidang media di Restoran Jejantas Sungai Buloh (arah selatan) pada Isnin.
Terdahulu, PLUS mengadakan program Jelajah Media Ke Wilayah Tengah Lebuhraya PLUS bagi meninjau persiapan sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Nik Airina berkata, pembukaan Smart Lane bergantung kepada lokasi yang mengalami trafik berat, terutamanya pada waktu tertentu.
"Bagaimanapun, kami ingin menasihatkan pengguna agar sentiasa berhati-hati ketika menggunakan Smart Lane dan dalam masa sama mereka juga tidak dibenarkan memandu laju.
"Ini kerana, Smart Lane dibuka bukan untuk pengguna memecut kenderaan, sebaliknya bagi membantu melancarkan aliran trafik selain memberi keselesaan kepada orang awam," ujarnya.
Mengulas mengenai peranan Pasukan Respons Kecemasan (ERT), beliau berkata, pasukan itu sentiasa bersedia untuk memberikan respons segera.
Jelasnya, bagi musim perayaan ini, pasukan ERT akan beroperasi selama enam hari iaitu dari 15 hingga 20 Februari.
"Seramai 432 anggota daripada beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan akan bekerjasama dan ditempatkan di beberapa lokasi strategik bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil sekiranya berlaku sebarang kemalangan.
"Tahun ini sebanyak 30 lokasi dalam pemerhatian kita sebagai 'hotspot' kemalangan. Oleh itu, langkah penambahbaikan akan dilaksanakan bagi memastikan kadar kemalangan di lokasi-lokasi tersebut dapat dikurangkan," katanya.