KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mendedahkan seramai 417,158 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dikenal pasti sebagai culas dan masih belum membuat sebarang bayaran balik pinjaman pendidikan mereka setakat ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, kira-kira 0.7 peratus daripada jumlah tersebut akan dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara berikutan kegagalan menjelaskan tunggakan pinjaman PTPTN.
Ujar beliau, setakat ini sebanyak RM77.5 bilion pinjaman PTPTN telah disalurkan kepada lebih 4.26 juta pelajar institut pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.
“Hanya peminjam berpendapatan tinggi atau mencukupi sahaja yang benar-benar culas dan menepati kriteria tertentu yang akan dikenakan sekatan perjalanan di bawah inisiatif itu.
“(Ia) bukan dikenakan kepada peminjam yang baru menamatkan pengajian mereka atau belum mempunyai pendapatan, apatah lagi mereka yang tergolong dalam M40 atau B40,” katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) berhubung jumlah keseluruhan hutang PTPTN dan sama ada kerajaan bersedia untuk menghapuskan pinjaman pendidikan seperti yang pernah dijanjikan sebelum ini.
Menurut Adam Adli, kerajaan turut mempertimbangkan pelaksanaan inisiatif pendidikan percuma yang memanfaatkan kira-kira 13,000 pelajar daripada golongan memerlukan.
“(Inisiatif) ini sedang dilakukan pada peringkat sekarang. Kalau kita ambil manifesto contohnya Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), semua ada sebut soal mengurangkan beban pelajar.
“Sama ada menerusi pengajian tinggi percuma itu sedang dilakukan atau mengurangkan kos yuran universiti, keanjalan serta diskaun.
"Semua ini memerlukan tekad bukan sahaja tekad politik sebaliknya memerlukan keupayaan fiskal,” ujarnya.