SHAH ALAM - Kerajaan akan melaksanakan pendekatan secara berhemah dalam menangani isu berkaitan rumah ibadat termasuk dengan memberi tempoh munasabah kepada pihak pengurusan terlibat bagi mematuhi peraturan sedia ada.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R Yuneswaran berkata, sebarang tindakan terburu-buru perlu dielakkan kerana ia berpotensi mencetuskan ketegangan serta menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
"Walaupun kita berdepan pelbagai dinamika politik serta perbezaan pandangan dalam masyarakat, majoriti rakyat Malaysia tetap menerima hakikat negara ini mesti dibina di atas landasan yang betul, berteraskan persefahaman, saling menghormati dan perpaduan yang kukuh," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Yuneswaran, prinsip asas yang diguna pakai kerajaan adalah jelas iaitu semua rumah ibadat tanpa mengira agama tertakluk kepada undang-undang dan garis panduan sama khususnya berkaitan pemilikan serta kelulusan tanah.
"Penyelesaian perlu dicari melalui dialog, pematuhan peraturan dan saluran sah, bukan melalui pertikaian atau konflik," ujar beliau.
Sehubungan itu, katanya, beliau akan terus melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan berpandukan prinsip keadilan, keharmonian antara kaum serta pengukuhan perpaduan nasional.
"Kita semua memikul tanggungjawab memastikan Malaysia terus kekal aman, bersatu dan dihormati demi masa depan yang lebih makmur dan bermakna untuk generasi akan datang,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kerajaan memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara untuk bertindak ke atas rumah ibadat termasuk kuil yang dibina di tapak tidak sah.
Anwar ketika berucap di Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Perpaduan Negara memaklumkan, walaupun keputusan itu bakal mengundang kontroversi, namun menegaskan Malaysia mempunyai undang- undang yang perlu dihormati oleh semua pihak.