SUMEDANG – Seorang guru berstatus kontrak kerajaan dengan Perjanjian Kerja (P3K) separuh masa di Kabupaten Sumedang, Indonesia menarik perhatian ramai selepas mendakwa hanya menerima gaji insentif bersih sekitar 15,000 rupiah (RM3.50) bagi bulan pertama perkhidmatannya, lapor TribunJabar pada Ahad.
Perkara itu tular selepas guru berkenaan yang menggunakan akaun TikTok @Imfinas berkongsi insentif asal sebanyak 50,000 rupiah (RM11.70) dipotong caruman Badan Penyelenggara Jaminan Sosial (BPJS) Kesihatan sebanyak 35,000 rupiah (RM8.20) sehingga menyebabkan baki gaji yang diterima amat rendah.
Situasi tersebut mencetuskan reaksi meluas dalam kalangan masyarakat dan menimbulkan persoalan mengenai kebajikan guru P3K separuh masa di daerah itu.
Meskipun jumlah tersebut dianggap tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian, guru berkenaan menyatakan beliau tetap meneruskan tugas sebagai pendidik atas faktor minat dan komitmen terhadap profesion perguruan.
“Saya berharap suatu hari nanti akan ada peraturan yang lebih adil dan benar-benar memanusiakan guru,” tulis beliau dalam hantaran berkenaan.
Mengulas isu itu, Ketua Dinas Pendidikan Kabupaten Sumedang, Eka Ganjar Kurniawan menjelaskan, semua guru P3K separuh masa diwajibkan menjadi peserta BPJS Kesihatan dan potongan tersebut adalah mengikut peraturan sedia ada.
“Potongan itu merupakan kewajipan caruman BPJS Kesihatan. Oleh itu, insentif yang diterima menjadi lebih kecil,” katanya.
Menurut beliau, pengambilan guru P3K separuh masa adalah dasar kerajaan pusat, manakala pembayaran gaji dan insentif ditanggung oleh kerajaan daerah yang kini berdepan kekangan peruntukan kewangan.
Namun begitu katanya, kerajaan daerah tetap berusaha memastikan kebajikan guru terbela, termasuk memohon kebenaran supaya mereka terus menerima bayaran tambahan melalui dana Bantuan Operasional Satuan Pendidikan (BOSP).
Eka Ganjar turut memaklumkan bahawa kerajaan daerah merancang meningkatkan insentif guru P3K separuh masa melalui pindaan Anggaran Pendapatan dan Belanja Daerah (APBD) tahun 2026.
Menurut beliau, kadar insentif P3K separuh masa adalah berbeza mengikut kategori.
Tenaga teknikal menerima antara 250,000 rupiah (RM58.50) hingga 2 juta rupiah (RM468.00) sebulan manakala guru menerima sekitar 55,000 rupiah (RM12.90) hingga 730,000 rupiah (RM170).
Guru yang menerima insentif paling rendah jelasnya, merupakan mereka yang telah memperoleh elaun pensijilan guru sekitar 2 juta rupiah, menyebabkan jumlah insentif diselaraskan.
“Jumlah insentif ketika ini memang belum ideal, namun kami terus berusaha mencari penyelesaian agar kebajikan guru P3K separuh masa dapat ditingkatkan pada masa akan datang,” katanya. - Agensi