BEIJING – Seorang pembantu peribadi kepada pempengaruh fesyen terkenal di China didakwa menyamar menggunakan identiti majikannya sebelum meraih pendapatan lumayan mencecah AS$158,000 (kira-kira RM623,766) hasil tip siaran langsung.
Pempengaruh dikenali sebagai Chen Xin yang memiliki hampir tiga juta pengikut di media sosial mendedahkan, pembantunya selama enam tahun telah mencuri identiti serta bahan kandungannya untuk membina persona palsu sebagai wanita kaya dan pelajar di Harvard Medical School.
Menurut Chen, wanita berkenaan dikenali sebagai Jiang, menggunakan kata laluan rumah dan akaun peribadinya untuk memasuki kediaman tanpa kebenaran sebelum memakai pakaian, termasuk stoking serta pakaian tidur miliknya bagi tujuan fotografi dan kandungan media sosial.
Lebih mengejutkan, suspek turut menggunakan gambar yang tidak pernah disiarkan Chen dan memanipulasinya dengan teknologi kecerdasan buatan (AI), menggantikan tubuh asal kepada dirinya sendiri bagi menghasilkan imej seolah-olah kehidupan mewah di luar negara.
Siasatan mendapati wanita Jiang sebenarnya berpangkalan di wilayah Zhejiang dan tidak pernah menjejakkan kaki ke luar negara.
Bagaimanapun, dia didakwa memuat naik gambar pelajar luar negara yang dicuri serta menukar alamat protokol internet (IP) bagi mengelirukan pengikut kononnya menetap dan belajar di Amerika Syarikat.
Dengan identiti palsu itu, suspek menganjurkan sesi siaran langsung bertemakan 'perkembangan wanita bijak' pada Januari lalu dan berjaya menarik penonton sehingga menerima tip mencecah 1.14 juta yuan (RM647,441).
Perkara tersebut akhirnya terbongkar selepas Chen mengetahui kewujudan akaun media sosial Jiang dari seorang penguna yang menghubunginya.
Malah menurut pengguna itu, Jiang mendakwa dirinya adalah adik Chen selepas beberapa orang melihat rumah Chen dalam gambarnya.
Kes itu kini dalam perhatian pihak berkuasa. - Agensi