Hampir buta selepas panaskan mainan dalam ketuhar gara-gara pengaruh media sosial

Iklan
Seorang kanak-kanak lelaki hampir kehilangan penglihatan selepas memanaskan mainan sensori di ketuhar gelombang mikro. Foto Agensi

CHICAGO - Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun hampir kehilangan penglihatan selepas mengalami kecederaan melecur serius akibat memanaskan sebuah mainan sensori di dalam ketuhar gelombang mikro, dipercayai terpengaruh dengan kandungan tular di media sosial.

Mangsa, Caleb Chabolla, meletakkan mainan sensori berbentuk kiub jenis NeeDoh Nice Cube ke dalam ketuhar gelombang mikro selepas didorong oleh rakannya bahawa tindakan tersebut boleh menjadikan mainan berkenaan lebih lembut dan anjal seperti yang didakwa dilihat mereka dalam video.

Iklan
Iklan

Ibu mangsa, Whitney Grubb berkata, dia bergegas ke dapur selepas terdengar jeritan kuat anaknya yang menjerit kesakitan sambil berkata “Panas... panas” sejurus membuka pintu ketuhar.

Walaupun lapisan luar mainan tersebut diperbuat daripada silikon tidak beracun, bahagian dalamnya mengandungi bahan seperti gam yang akan mengembang dan meletup apabila terdedah kepada haba tinggi.

Iklan

Akibatnya, bahan panas berkenaan terpercik ke muka dan tangan Caleb, menyebabkan kecederaan melecur tahap kedua.

Keadaan mata Caleb turut membimbangkan apabila kelopak matanya membengkak sehingga tertutup sepenuhnya.

Iklan

Caleb segera dikejarkan ke hospital, di mana pihak perubatan membersihkan luka melecur, membuang tisu kulit mati dan menyapu ubat khas.

Pemeriksaan pakar mata kemudiannya mengesahkan penglihatan mangsa tidak terjejas akibat insiden tersebut.

Pakar dari Pusat Rawatan Melecur Loyola Medicine, Kelly McElligott berkata, Caleb bukan satu-satunya mangsa akibat trend berbahaya itu.

Beliau mendedahkan terdapat kes lain melibatkan kanak-kanak yang melecur teruk selepas menyentuh mainan sama yang telah dipanaskan.

Caleb dirawat di hospital selama dua hari dan tidak memerlukan pemindahan kulit, namun berisiko mengalami parut kekal.

Ibu mangsa bersama pihak perubatan menggesa ibu bapa agar lebih berwaspada dan menasihatkan supaya sebarang mainan tidak dipanaskan, sama ada menggunakan ketuhar gelombang mikro atau air panas.

Mainan NeeDoh Nice Cube sebenarnya mempunyai label amaran yang jelas melarang sebarang proses pemanasan.

Caleb dijadualkan menjalani pemeriksaan susulan di klinik rawatan melecur dan dijangka kembali ke sekolah pada minggu berikutnya.- Agensi