KLANG - Kerajaan Selangor memperuntukkan RM10 juta setiap tahun bagi melaksanakan Kajian Pavement Condition Assessment (PCA) untuk mengenal pasti jalan-jalan kritikal di negeri ini, termasuk Jalan Meru di Klang dan kawasan Tanjung 12, Kuala Langat yang berdepan cabaran struktur tanah kritikal.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata, hasil analisis data PCA mendapati Jalan Meru diiktiraf sebagai antara kawasan paling kritikal sekali gus memerlukan intervensi segera menggunakan teknologi baharu.
“Ketika ini, kerja-kerja penyelenggaraan sedang dijalankan di Jalan Iskandar dan Jalan Merbau menggunakan teknologi SPS (Slurry Premix Surfacing) bagi meningkatkan kualiti permukaan jalan dan keselesaan pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kenderaan dan Jentera Baharu serta Surat Setuju Terima (SST) bagi Kontrak Jangka Panjang Penyelenggaraan Jalan-Jalan Negeri Selangor di Stadium Mini JKR Selangor, di sini pada Isnin.
Izham berkata, cabaran lebih besar dihadapi di Tanjung 12 apabila kawasan itu mempunyai lapisan tanah lembut yang sangat dalam sehingga mencecah 50 meter, menyebabkan kaedah pembinaan konvensional seperti cerucuk (piling) tidak berkesan.
“Sehubungan itu, reka bentuk baharu menggunakan teknologi khas sedang disiapkan bagi memastikan penyelesaian jangka panjang yang lebih mampan dan selamat,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Izham menegaskan kerajaan Selangor sedang berusaha memodenkan aset Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mendepani cabaran sebuah negeri maju yang berdepan tekanan trafik tinggi, perubahan cuaca ekstrem serta isu geoteknikal seperti tanah gambut dan tanah liat laut.
Beliau berkata, penggunaan teknologi baharu akan terus dipertingkatkan termasuk kaedah Jet Patcher yang kini diperluaskan ke lima zon di negeri ini selepas projek rintis menunjukkan kejayaan dalam mempercepatkan pembaikan jalan.
Ujar beliau, semua usaha itu dilaksanakan bagi memastikan tahap keselamatan, keselesaan dan ketahanan jalan raya di Selangor sentiasa berada pada tahap optimum.
“Selain itu, teknologi sistem SPS dan teknologi turapan jalan berkualiti tinggi (SFM) yang terbukti berkesan di Bagan Pasir, Tanjong Karang dan Klang akan diperluaskan ke kawasan lain, manakala penggunaan power cement akan diperkenalkan secara berperingkat bagi memperkukuh struktur jalan,” tambah beliau.
Sinar Harian pada Sabtu lalu melaporkan Persiaran Hamzah Alang, Jalan Meru dan Jalan Meru Tambahan di sini tidak lagi sekadar laluan harian penduduk, sebaliknya bertukar menjadi ‘lebuh raya lori tanah’ sehingga mencetuskan kebimbangan serius terhadap keselamatan awam.
Laluan strategik yang menghubungkan Klang, Shah Alam, Banting dan Kuala Lumpur itu dilalui kenderaan berat yang membawa muatan tanah secara silih berganti, termasuk pada waktu puncak.