Penduduk Bukit Sentosa tuntut batal terus ladang babi

Iklan
Sebahagian penduduk yang hadir pada perhimpunan tuntutan pembatalan sepenuhnya cadangan ladang babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor pada Ahad.

HULU SELANGOR – Penduduk di Bukit Sentosa di sini sebulat suara membantah dan menuntut supaya cadangan pemindahan ladang babi dari Tanjung Sepat, Kuala Langat ke Bukit Tagar di sini dibatalkan terus, bukan sekadar ditangguhkan atau dibatalkan sementara.

Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan Cempaka 1C Bukit Sentosa, Mohamad Zainuddin Yeob berkata, penduduk menolak sebarang bentuk penangguhan dan pembatalan sementara kerana bimbang ia tetap akan diteruskan pada masa akan datang.

Iklan
Iklan

"Cadangan lokasi ladang ini terlalu hampir dengan kawasan perumahan utama di Bukit Sentosa dan Bukit Tagar selain berdekatan institusi pendidikan serta laluan awam," katanya selepas perhimpunan tuntutan pembatalan sepenuhnya cadangan ladang babi di Bukit Tagar.

Penduduk memegang sepanduk bagi menuntut kerajaan Selangor membatalkan sepenuhnya cadangan pemindahan ladang babi dari Tanjung Sepat ke Bukit Tagar.

Iklan

Kira-kira 130 penduduk termasuk wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai himpunan yang diadakan di tapak Pasar Malam Bukit Sentosa di sini pada Ahad.

Mohamad Zainuddin berkata, kebimbangan utama penduduk mengenai kemungkinan pencemaran bau yang boleh menjejaskan kualiti hidup penduduk sehingga beberapa kilometer dari lokasi cadangan.

Iklan

"Kawasan ini majoritinya penempatan penduduk dan lebih 80 peratus masyarakat Islam selain sensitiviti dan kesejahteraan komuniti setempat perlu diambil kira," jelasnya.

Sehubungan itu katanya, penduduk berharap kerajaan negeri mendengar suara rakyat dan membuat keputusan yang tegas demi menjaga keharmonian serta kesejahteraan penduduk setempat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun yang turut menyertai perhimpunan itu menggesa kerajaan Selangor menyatakan pendirian jelas dengan membatalkan sepenuhnya cadangan pemindahan ladang babi ke Bukit Tagar bagi meredakan kebimbangan rakyat.

Beliau berkata, selagi tiada pengumuman jelas mengenai pembatalan penuh cadangan berkenaan, selagi itulah bantahan rakyat akan terus disuarakan.

Menurutnya, meskipun kehadiran fizikal pada perhimpunan bantahan yang diadakan pada petang Ahad itu tidak ramai, namun mesej bantahan yang ingin disampaikan kepada kerajaan cukup jelas.

"Selagi mana tidak ada kenyataan jelas cadangan ini dibatalkan sepenuhnya, rakyat akan terus bangkit," ujar beliau.

Hasnizan menegaskan, penduduk menolak sebarang bentuk penangguhan atau pembatalan bersifat sementara kerana bimbang cadangan berkenaan akan diteruskan pada masa hadapan.

Beliau turut mengakui wujud pelbagai ura-ura berhubung cadangan penangguhan isu itu termasuk dakwaan ia dilakukan atas faktor politik, namun menegaskan perkara itu tidak pernah disahkan secara rasmi.

"Ada pelbagai cerita dan spekulasi, tetapi kepastian mesti datang daripada kerajaan negeri sendiri," tambah beliau.

Sebahagian penduduk yang hadir pada perhimpunan tuntutan pembatalan sepenuhnya cadangan ladang babi di Bukit Tagar di sini pada Ahad.

Penduduk memegang sepanduk bagi menuntut kerajaan Selangor membatalkan sepenuhnya cadangan pemindahan ladang babi dari Tanjung Sepat ke Bukit Tagar.