BANTING – Penantian lebih empat tahun akhirnya berbaloi buat seorang pekerja kilang, Mohd Faiz Yasin, 31, apabila meraih kemenangan sulung dalam pertandingan memancing selepas menjuarai Pertandingan Memancing Terbuka Selangor di Pantai Kelanang di sini pada Ahad.
Anak jati Kampung Endah, Kuala Langat itu tidak menyangka usaha berterusan menyertai pelbagai pertandingan memancing sejak empat tahun lalu akhirnya membuahkan hasil apabila membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.
Kejayaan itu diraih selepas dia berjaya menaikkan ikan malong seberat 0.98 kilogram (kg) pada jam 10.27 pagi, sekali gus menewaskan lebih 500 peserta lain dari seluruh negara.
“Saya sudah berusaha lebih empat tahun tanpa mengenal lelah. Setiap kali ada pertandingan memancing di Pantai Kelanang, saya akan cuba meluangkan masa untuk sertai.
“Malah, pertandingan di negeri lain juga saya sertai, namun sebelum ini belum pernah pulang dengan hasil yang diharapkan.
“Alhamdulillah, hari ini (Ahad) adalah hari paling menggembirakan dalam kerjaya saya sebagai pemancing,” katanya yang mengakui belum mempunyai sebarang perancangan terhadap wang kemenangan tersebut.
Hadiah kemenangan disampaikan oleh Pengerusi Pertubuhan Penggerak Aktiviti Pantai Kelanang (Penggerak), Ahmad Roslan Kiran.
Tempat kedua disandang Mohd Zamri Yahya, 45, dari Klang yang menaikkan ikan semilang seberat 0.96kg dan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, manakala Mohd Hafizal Ahmad, 36, dari Kuala Lumpur, berpuas hati di tempat ketiga selepas menaikkan ikan belukang seberat 0.87kg untuk memenangi RM1,000.
Sementara itu, Ahmad Roslan berkata, Penggerak akan terus mempromosikan Pantai Kelanang sebagai lokasi utama aktiviti memancing sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 berikutan sambutan menggalakkan daripada komuniti pemancing.
“Lebih 400 ekor ikan berjaya didaratkan hari ini. Terdapat cadangan supaya pertandingan diadakan dalam masa terdekat, namun berikutan Ramadan dan Syawal yang bakal tiba, ia tidak dapat dilaksanakan.
“Insya-ALLAH, pertandingan memancing akan dianjurkan semula di sini pada awal Julai nanti,” katanya.