Pemarkahan 14 kementerian gagal capai sasaran dijalankan bulan depan - KSN

Iklan
Shamsul Azri pada sidang media Program Pemukiman Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan (KSUP) 2026 di EPF Learning Campus (ELC) pada Sabtu. Foto Bernama

BANGI - Proses pemberian markah kepada 14 kementerian yang dikenal pasti tidak berjaya mencapai sasaran dalam pelaksanaan pembangunan projek fizikal akan dijalankan pada bulan hadapan, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata, setiap ketua setiausaha kementerian (KSU) terlibat akan dipanggil untuk dimaklumkan mengenai markah yang diperoleh berdasarkan demerit, akibat kegagalan melaksanakan projek pembangunan.

Iklan
Iklan

"Penghujung bulan depan, saya akan mula beri markah kepada 14 (kementerian) yang gagal ini. Saya akan panggil setiap KSU untuk maklumkan apa markah yang dapat berdasarkan demerit atas kegagalan melaksanakan projek pembangunan berkenaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Permukiman Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan (KSUKP) Tahun 2026, di sini pada Sabtu.

Iklan

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Pada 15 Januari lepas, Shamsul Azri berkata, sejumlah 14 kementerian dikenal pasti tidak berjaya mencapai sasaran dalam pelaksanaan pembangunan projek fizikal yang diperuntukkan pada tahun lepas.

Iklan

Beliau berkata, status perbelanjaan pembangunan projek di bawah kementerian itu mencatat 87.91 peratus, iaitu berada di bawah purata nasional dan memerlukan perhatian serius. - Bernama