SUNGAI SIPUT - Semua pihak diminta memberikan ruang dan menunggu laporan kajian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi tujuan pelaksanaan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Kor Ming berkata, seperti yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, perkara itu telah diserahkan kepada UIAM.
"Berilah cendekiawan dan mereka yang cerdik pandai membuat kajian dahulu. Selepas kajian, kita juga akan kemukakan kepada Jemaah Menteri untuk berbincang bagi mencari jalan terbaik.
"Bagaimanapun, sukacita saya ingatkan kepada semua, pilihan raya Datuk Bandar ini bukan perkara baharu pun, perkara ini telah pun dilakukan sebelum tahun konfrontasi Malaysia-Indonesia … ," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Sentuhan Kejayaan Kampung Baru di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, masyarakat juga perlu melihat situasi di negara jiran seperti di Bangkok di Thailand dan Jakarta di Indonesia yang melaksanakan pilihan raya Datuk Bandar.
"Di London (England), Sadiq Khan seorang Muslim tetapi penduduk London memilihnya bukan kerana beliau seorang Muslim, sebaliknya kerana beliau boleh bekerja. Hanya satu sebab, iaitu kerana beliau mampu menunjukkan prestasi.
"Yang tidak boleh bekerja, apa gunanya? Yang penting prihatin, boleh berkhidmat, itulah moto saya," katanya.
Semalam, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan semua pihak diminta tidak memandang rendah keupayaan universiti awam seperti UIAM untuk melaksanakan kajian berhubung kebolehlaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Pada 3 Februari lepas, Hannah berkata, kajian kebolehlaksanaan bagi mengadakan pilihan raya PBT di ibu kota termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur telah dijalankan sejak pentadbiran Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini. - Bernama