Kluster tibi: KPM patuh saranan KKM, keadaan terkawal setakat ini - Fadhlina

Iklan
Fadhlina (kiri) bergambar bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (kanan) pada Nibong Tebal Festival di Jalan Pasar Lama pada Sabtu. Foto Bernama

NIBONG TEBAL - Kementerian Pendidikan (KPM) mematuhi sepenuhnya saranan dan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani isu penyakit tuberkulosis (tibi) atau batuk kering.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, setakat ini keadaan penyakit berkenaan masih terkawal dan berada di bawah pemantauan rapi KKM.

Iklan
Iklan

"Sebarang tindakan di institusi pendidikan dilaksanakan mengikut garis panduan kesihatan awam yang ditetapkan KKM bagi memastikan keselamatan murid, pendidik dan warga sekolah sentiasa terpelihara,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Festival Nibong Tebal 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri Chow Kon Yeow di sini pada Sabtu.

Terdahulu, beberapa negeri melaporkan pengesanan kes tibi melibatkan kluster komuniti dan sekolah, dengan saringan kontak rapat serta langkah pencegahan dilaksanakan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri mengikut garis panduan KKM.

Iklan

Pada 4 Februari, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan satu kluster tibi di Kota Tinggi pada 25 Januari lepas dengan 33 kes positif dikesan hasil saringan ke atas 804 kontak rapat setakat 4 Februari.

Sementara itu, mengenai Festival Nibong Tebal 2026, Fadhlina berkata, festival komuniti seperti itu perlu terus memberi penekanan kepada penglibatan masyarakat setempat serta generasi muda supaya roh dan identiti festival kekal relevan.

Iklan

Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal turut mencadangkan usaha menghidupkan semula tarikan alam semula jadi seperti kelip-kelip yang suatu ketika dahulu sinonim dengan Nibong Tebal, melalui kerjasama pasukan penyelidik yang sedang meneliti potensi pemuliharaan spesies berkenaan.

"Selain itu, warisan makanan tempatan seperti kepelbagaian jenis siput yang hanya dijual pada bulan Ramadan serta reputasi durian Black Thorn dari Nibong Tebal wajar diketengahkan sebagai antara identiti dan tarikan unik kawasan berkenaan,” katanya. - Bernama