JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak lelaki dipercayai dibuli menerusi satu rakaman video yang tular di media sosial, dipercayai berlaku di kawasan kediaman di Jalan Mewah, Kampung Melayu Majidee di sini pada Jumaat.
Video tular menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 23 saat itu memaparkan kejadian kira-kira jam 12.39 tengah malam melibatkan sekurang-kurangnya empat kanak-kanak disyaki melakukan perbuatan berkenaan terhadap mangsa yang juga dipercayai kanak-kanak lelaki.
Iklan
Iklan
Menerusi rakaman tersebut, kelihatan pantulan cahaya api dipercayai disembur ke arah mangsa yang berada dalam keadaan terbaring dengan tangan seolah-olah terikat.
Tidak lama kemudian, tiga daripada kanak-kanak berkenaan dilihat menghampiri mangsa sebelum mengangkatnya manakala seorang lagi individu dipercayai bertindak sebagai pemantau ketika kejadian.
Tinjauan di media sosial mendapati rata-rata pengguna mengecam perbuatan berkenaan dan menuntut tindakan tegas diambil memandangkan kejadian itu disifatkan sebagai kes buli serius serta berunsur jenayah.
Difahamkan, pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti lokasi sebenar kejadian serta mengesan semua individu terlibat.