KOTA BHARU - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli menasihatkan agar pihak tertentu tidak menempelak, berkasar untuk menunjukkan rahmah kepada bukan beragama Islam berkaitan isu penggunaan kalimah Islam seperti Alhamdulillah dan seumpamanya.
"Bagaimana yang bukan Islam ingin melihat indahnya Islam jika kita sendiri berkasar.
"Seperti saya sebutkan tadi, kita ingin mengharmonikan dan ini adalah satu cabaran dakwah untuk kita. Berkenaan isu tadi (kalimah Islam) mufti sudah memberikan kenyataan. Bacalah di situ, saya tidak mahu ulas selanjutnya," katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu.
Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Perasmian Program Ihya Ramadan dan Pelancaran Program Pendidikan Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Kelantan (YAATIM) 2026 di YAATIM di sini.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan penggunaan kalimah-kalimah Islam seperti Alhamdulillah, Insya-ALLAH, Masya-ALLAH dan seumpamanya oleh golongan bukan Islam dalam perbualan harian adalah diharuskan, selagi ia tidak merendahkan kesucian agama Islam serta tidak mengandungi unsur penghinaan.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memaklumkan, dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, fenomena penggunaan kalimah Islam oleh sebahagian bukan Muslim adalah sesuatu yang normal dan berlaku hasil pergaulan antara budaya serta agama.
Menurut penjelasan itu, dari sudut hukum syarak, perbuatan berkenaan dibenarkan dengan syarat ia digunakan dalam konteks yang betul dan tidak dijadikan bahan olok-olok atau persendaan terhadap Islam.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff pada Rabu mempersoalkan tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang menggunakan kalimah sinonim dengan umat Islam pada persidangan Dewan Rakyat.
Siti Zailah berkata, perbuatan tersebut seolah-olah mengelirukan masyarakat bukan Islam dan mempermainkan kesucian agama Islam.