ALOR SETAR - Pakatan Harapan (PH) menerusi Jawatankuasa Pilihan Raya akan melaksanakan persiapan menyeluruh termasuk kajian lapangan dan penilaian strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kajian tersebut turut merangkumi penilaian kemungkinan kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) seperti yang diguna pakai menerusi model Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan ketika ini.
Menurutnya, pihak Sekretariat PH telah mengadakan perbincangan awal dan meminta Jawatankuasa Pilihan Raya PH membuat persiapan di peringkat lapangan bagi menilai pelbagai aspek sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Kami di peringkat sekretariat telah mengadakan pusingan awal dan meminta Jawatankuasa Pilihan Raya PH membuat persiapan lapangan serta menilai serba-serbi, termasuk strategi memasuki pilihan raya ini.
“Antaranya sama ada pendekatan kerjasama seperti model Kerajaan Perpaduan iaitu PH dan BN bergabung di bawah satu pentadbiran, akan diguna pakai dalam kedua-dua PRN tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat tapak projek Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Jalan Langgar di sini pada Sabtu.
Saifuddin menjelaskan, jawatankuasa terbabit diberi tempoh selewat-lewatnya dua bulan untuk melengkapkan kajian dan seterusnya membentangkan dapatan kepada Sekretariat PH bagi tindakan lanjut.
Pada 26 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan, BN masih belum membuat sebarang keputusan mengenai kerjasama politik dengan mana-mana parti bagi menghadapi PRN Melaka dan Johor akan datang.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, masih terlalu awal untuk bercakap soal pembahagian kerusi antara parti kerana ia masih belum diputuskan.
Bagaimanapun ujarnya, terpulang kepada pucuk pimpinan parti masing-masing untuk menentukan corak dan formula mereka, namun tegasnya BN masih belum memutuskannya lagi.