SHAH ALAM – Saman fitnah difailkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar terhadap seorang pempengaruh, Ramzi Kamil selesai secara baik di luar Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis.
Ia berhubung dakwaan fitnah dalam dua pernyataan yang diterbitkan di laman Facebook Ramzi selaku defendan bertarikh 23 dan 25 November 2025, berkaitan suntikan vaksin dengan jemaah haji.
Penyelesaian berkenaan direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Helmi Hamzah dalam prosiding yang dibuat secara dalam kamar.
Tinjauan di laman Facebook atas nama 'Rambo Melaka' dikendalikan Ramzi juga memaparkan permohonan maaf kerana memfitnah.
Berdasarkan dokumen diperoleh media pada Sabtu, defendan yang menjalankan perniagaan produk detox menzahirkan kekesalan serta memohon maaf atas penggunaan ayat dan ungkapan berunsur fitnah yang tidak wajar sehingga memberi kesan buruk kepada mantan menteri agama selaku plaintif.
Susulan itu, defendan bersetuju dan berakujanji tidak akan mengeluarkan hantaran serupa pada masa hadapan.
Mahkamah turut mengeluarkan injunksi mandatori supaya defendan memadamkan dua hantaran daripada akaun Facebook dikenali sebagai ‘Rembo yang dikenali sebagai Melaka’ dalam tempoh 24 jam dari tarikh penghakiman.
Selain itu, defendan, ejen atau mana-mana pihak berkaitan dihalang daripada menerbitkan, menyiarkan, berkongsi atau mengulangi kenyataan berkenaan dalam apa jua bentuk.
Defendan juga berjanji meletakkan penafian jelas di akaun media sosial miliknya bahawa dia tidak mengizinkan, menyokong dan bertanggungjawab terhadap sebarang tindakan pihak ketiga yang menerbitkan semula kenyataan didakwa berunsur fitnah, tanpa kebenarannya.
"Teks permohonan maaf tanpa syarat yang disediakan plaintif perlu dimuat naik oleh defendan di platform media sosial miliknya dalam tempoh 24 jam selepas penghakiman direkodkan, malah ia perlu dipaparkan selama 30 hari.
"Serentak itu, defendan dikehendaki membayar kos penyelesaian kepada plaintif yang dihadkan sebanyak RM5,000," kata dokumen penghakiman.
Katanya, defendan perlu mendedahkan jumlah keseluruhan wang sekiranya membuat kutipan, dengan menyatakan sumber penyumbang, penyata akaun penuh, rekod transaksi, resit dan dokumen sokongan, bagi membuktikan jumlah sebenar wang dikutip, diterima serta dibelanjakan.
Semua wang yang dikutip hanya boleh digunakan bagi pembayaran jumlah penyelesaian di bawah penghakiman persetujuan dan tidak boleh digunakan untuk tujuan lain atau medium mengulangi kenyataan fitnah.
Sekiranya kutipan dana melebihi jumlah itu, lebihan berkenaan hendaklah diserahkan sepenuhnya kepada Baitul Mal Selangor dan defendan tidak berhak menuntut atau menggunakan wang tersebut.
Defendan juga perlu mengemukakan bukti pembayaran rasmi kepada plaintif berhubung penyerahan lebihan dana berkenaan.
Dalam prosiding berkenaan, plaintif diwakili peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader, Muhammad Aslam Akberdin dan Ahmad Redza sementara defendan oleh peguam, Nur Fazrin Ahmad.
Pada 23 Disember tahun lalu, Mohd Na’im memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap Ramzi menerusi Tetuan Akberdin & Co.
Menerusi pernyataan tuntutan yang disediakan pihak plaintif memberitahu, defendan merupakan seorang peniaga menggambarkan plaintif seolah-olah memaksa jemaah haji mengambil vaksin dan tindakan tersebut menunjukkan mantan menteri agama itu tidak layak memegang jawatan berkaitan hal ehwal agama.
Katanya, defendan menyatakan tindakan plaintif menyokong pelaksanaan vaksin (yang kononnya mengandungi unsur haram serta boleh menyebabkan penyakit kronik), secara jelas telah mencemarkan tuntutan agama Islam yang suci.
"Defendan menyampaikan imputasi bahawa plaintif tidak memberi pilihan kepada jemaah, sehingga mereka terpaksa menolak peluang haji dan umrah kerana tidak mahu menerima suntikan vaksin, demi menjaga tubuh daripada perkara yang dianggap haram.
"Defendan menyatakan, tindakan plaintif menyebabkan umat Islam terhalang daripada menunaikan ibadah umrah dan haji sebagaimana dikaitkan dengan hadis, sekali gus menggambarkan bekas menteri itu sebagai punca kerosakan masyarakat Islam," kata dokumen.
Justeru, defendan berniat jahat dan mengaitkan plaintif dan mengaitkan perkara-perkara tidak benar.