DALAM suasana malam yang hening, selepas jemaah selesai menunaikan solat Isyak, Datuk Rizalman Ibrahim berdiri di hadapan Surau Ar-Rijal dengan wajah penuh kesyukuran, seolah-olah masih sukar mempercayai bahawa rumah ibadah itu kini menjadi kenyataan.
Surau bernilai RM1.5 juta itu, yang dibina sepenuhnya melalui sumbangan orang ramai dan penyumbang persendirian menerusi Yayasan Rizalman Ibrahim (Yayasan RI), dirasmikan pada Jumaat.
Bagi Rizalman, perasmian itu bukan sekadar acara rasmi, tetapi sebuah detik rohani yang cukup mendalam, hadir tepat selepas beliau sendiri sujud bersama jemaah di ruang yang dibina hasil tangan-tangan pemurah.
Beliau mengakui tidak pernah terlintas untuk terlibat secara langsung dalam pembinaan rumah ibadah bagi komuniti Muslim di Taman Merbau Jaya, Sungai Dua, di sini.
Bagi Rizalman, perasmian itu bukan sekadar acara rasmi, tetapi sebuah detik rohani yang cukup mendalam, hadir tepat selepas beliau sendiri sujud bersama jemaah di ruang yang dibina hasil tangan-tangan pemurah.
Kerana itu, Surau Ar-Rijal menjadi simbol keajaiban yang sukar diterjemahkan - sebuah perjalanan yang mempertemukannya dengan peranan yang tidak pernah diimpikan.
Dalam ucapannya, Rizalman menyatakan rasa terharunya kerana dapat berkongsi pahala dengan setiap penderma yang bersama-sama menegakkan syiar Islam melalui pembinaan surau tersebut.
“Jarang ada projek yang sepenuhnya bergantung kepada dana orang ramai dan penyumbang persendirian berjalan begitu lancar. Saya sendiri hairan… tetapi itulah nikmat ALLAH yang luar biasa,” katanya kepada Astro AWANI.
Menurut beliau, setiap kali memandang tempat sujud dalam surau itu, hatinya tertanya-tanya bagaimana proses yang sepatutnya sukar menjadi begitu mudah, begitu cepat, dan begitu diberkati.
Beliau menjelaskan, perjalanan Yayasan RI dalam projek ini terlalu sukar digambarkan dengan kata-kata kerana ia seolah-olah dipandu oleh pertolongan Allah dari mula hingga akhir.
Rizalman turut mengimbas kembali bagaimana hanya setahun lalu, tapak surau itu hanyalah kawasan kosong yang tidak menjanjikan apa-apa selain harapan.
Namun, pada malam perasmian itu, ruang yang sebelum ini kosong telah hidup dengan suara takbir dan manusia yang sujud penuh khusyuk.
Beliau turut berkongsi bahawa sentuhan reka bentuk surau itu sedikit sebanyak membawa identiti dirinya sebagai bekas pereka fesyen, namun tetap mematuhi kesederhanaan yang dituntut dalam pembinaan rumah Allah.
Namun, katanya, nilai sebenar surau itu bukan pada rekabentuknya, tetapi pada jiwa ibadah yang menghidupkan setiap ruang.
Rizalman, 55, mengingatkan bahawa antara amalan yang mengangkat martabat seorang Muslim di sisi Allah adalah membina masjid atau surau — tempat manusia menyebut nama Allah dan mengabdikan diri kepada-Nya.
“Kami di Yayasan RI telah diberi peluang melaksanakannya… dan ia menjadi ruang untuk para penyumbang yang mungkin tidak sempat membina surau sendiri meraih pahala ini,” katanya.
Jelasnya, setiap sen yang disumbangkan bukan sekadar angka, tetapi peluang menuju syurga yang Allah bukakan buat hamba-hambaNya.
Beliau turut mengingatkan bahawa manusia tidak boleh bergantung kepada sesama makhluk, sebaliknya perlu mengikuti jejak para rasul yang meletakkan sepenuh kebergantungan kepada Allah.
Katanya, Surau Ar-Rijal adalah bukti jelas bahawa apabila manusia berserah kepada Tuhan, perkara yang mustahil akan menjadi nyata.
Dalam masa sama, Rizalman merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua penderma, sukarelawan dan masyarakat setempat yang menjayakan projek ini.
Dan pada malam yang penuh syahdu itu, terpancar di wajah beliau keinsafan bahawa setiap amal kebaikan, walau kecil, akan kembali kepada pelakunya dengan ganjaran yang tidak terjangka. - Awani