Hasrat ke Tanah Suci berkecai

Iklan
RUHANI dan suami terpaksa pulang ke rumah selepas namanya tiada dalam senarai untuk berlepas. Foto Canva

Impian pasangan suami isteri pesara kerajaan itu terhenti di KLIA 1, lebih seminggu berkurung di dalam rumah

HARI yang ditunggu-tunggu telah tiba buat pasangan pesara kerajaan, Ruhani Abdullah dan suaminya, Othman Kassim untuk berangkat menunaikan umrah buat pertama kali.

Perasaan mereka bercampur-baur antara teruja, gementar, takut dan gembira sejak sebulan lalu apabila berjaya mendaftarkan diri untuk mengerjakan umrah selepas melihat iklan di media sosial.

Iklan
Iklan

Sebelum itu, pelbagai persiapan dilakukan Ruhani, 60, yang bekerja sebagai pembantu tadbir di sebuah sekolah kebangsaan, bersama suaminya yang berusia 63 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori di sebuah agensi kerajaan sebelum ini.

Hasrat untuk mengerjakan umrah sudah lama dinyatakan Ruhani kepada ahli keluarganya ketika beliau masih bekerja, namun kekangan menjadi alasan hinggalah beliau menekadkan azam untuk melaksanakan selepas pencen.

Iklan

Menurut Ruhani, memandangkan giliran untuk mengerjakan ibadah haji belum tiba, dia mengeluarkan duit simpanannya untuk berangkat ke Tanah Suci bagi melaksanakan umrah terlebih dahulu.

Manakan tidak, wang tabungan yang disimpan sejak bertahun-tahun lamanya sebanyak RM15,000 hilang dalam sekelip mata, gara-gara terlalu percaya dengan ejen.

Iklan

Ejen mesra, maklumat terperinci

“Dua minggu sebelum kami berlepas, pelbagai persiapan dibuat termasuk mengikuti kursus umrah di masjid, memastikan tahap kesihatan yang baik, membeli pakaian yang sesuai untuk umrah dan ziarah serta banyak lagi.

RUHANI banyak meluangkan masa untuk beribadah di rumah selain berdoa dijemput ke Tanah Suci. Foto Canva

“Kami juga mengadakan kenduri kesyukuran seminggu sebelum berlepas. Ramai yang mengucapkan tahniah dan ada juga yang mengirimkan doa untuk dibacakan di Makkah, tempat mustajab doa,” cerita Ruhani kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Ujarnya, dia tidak mengesyaki apa-apa terhadap ejen tersebut memandangkan dia seorang wanita yang peramah selain menjawab semua persoalan dengan baik.

“Antara janjinya termasuklah hotel yang dekat dengan Masjidil Haram, bilik berdua dan siap dengan pakej makan lengkap enam kali sehari termasuk sarapan, minum petang dan makan lewat malam,” katanya.

Sambungnya, pada hari keberangkatan, ahli keluarganya menghantar dia dan suami ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 pada awal pagi.

“Ketika melangkah masuk ke lapangan terbang, perasaan teruja masih menguasai diri, apatah lagi melihat sekumpulan jemaah lain turut hadir bersama ahli keluarga mereka.

“Pada waktu itu, kami masih berhubungan dengan ejen. Dia memberikan panduan yang begitu baik kepada kami walaupun hanya melalui aplikasi WhatsApp.

“Menurut ejen itu, beliau dan suami hanya perlu mendaftarkan diri di Kaunter H dan akan berjumpa dengan mutawif serta jemaah lain selepas itu,” jelasnya.

Nama tiada dalam senarai berlepas

Bagaimanapun ceritanya, ketika berada di Kaunter H dan selepas menunjukkan kepada petugas kaunter penerbangan itu, nyawanya bagaikan ditarik apabila petugas memaklumkam namanya dan suami tiada dalam senarai penerbangan.

IMPIAN Ruhani dan suami untuk menunaikan umrah berkecai setelah ditipu ejen palsu. Foto Canva

“Walaupun ditunjukkan boarding pass yang tertera namanya dan suami, petugas tetap menyatakan namanya tiada dalam senarai untuk berlepas walaupun beberapa kali menyemaknya.

“Suami segera menelefon ejen tersebut berkali-kali, namun tidak diangkat. Selang beberapa ketika, akhirnya kami sedar yang kami ditipunya apabila mesej yang dihantar melalui WhatsApp itu tiada balasan selain nombor telefon saya juga disekat ejen tersebut,” ceritanya mengenangkan kembali kisah tersebut yang berlaku lima tahun lalu.

Ujarnya, anak-anaknya juga cuba menghubungi nombor telefon pejabat syarikat tersebut namun pihak syarikat menyatakan tiada penerbangan umrah oleh pihaknya pada hari berkenaan.

“Lebih seminggu saya hanya berkurung di rumah, malu dengan jiran tetangga.

“Mungkin ALLAH SWT mahu berikan suatu yang lebih baik,” katanya.

ANAK-ANAK dan ahli keluarga juga perlu ambil tahu serta menyemak dengan tepat pakej yang ditawarkan kepada ibu bapa yang sudah berusia itu sah. Foto Canva

Beliau dan suami berpegang dengan kata-kata tersebut dan akhirnya setahun kemudian, mereka berdua dijemput ALLAH SWT untuk mengerjakan ibadah haji selepas rayuannya diterima.

Beliau berpesan kepada orang ramai agar menyemak pakej yang ditawarkan dan memastikan ejen yang sah sebelum membuat bayaran dan tempahan.