SYARIKAT ekosistem peranti AI terkemuka global, HONOR meraikan ulang tahun kelima di Malaysia dengan penghargaan kepada pengguna yang memainkan peranan penting dalam kejayaan menduduki tangga teratas pegangan pasaran telefon pintar tempatan.
Pencapaian penting itu diraikan di majlis HONOR of Malaysia 5th Anniversary Gala yang berlangsung penuh meriah pada Rabu dengan menghimpunkan pengguna setianya, peminat, rakan kongsi, jurugambar dan pelajar.
Selain mengiktiraf pengguna yang memberi sokongan dan penglibatan berterusan mereka kepada pertumbuhan HONOR sejak awal kemunculannya di Malaysia, individu cemerlang turut diraikan menerusi lapan kategori anugerah pada malam tersebut.
Presiden HONOR Pasifik Selatan, Justin Li mengakui, perjalanan itu penuh cabaran namun membuahkan kejayaan kerana HONOR kekal berteraskan pengguna selain memperlihatkan seakan-akan mencapai kemajuan sedekad hanya dalam tempoh lima tahun.
“Hari ini amat bermakna kerana HONOR telah menjadi ‘Pilihan Utama Rakyat Malaysia’.
"Kami amat berterima kasih kepada komuniti yang terus berdiri teguh bersama kami, berkongsi produk dan falsafah kami dengan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi,” katanya.
Beliau berkata, kestabilan dan daya tahan produk HONOR ialah hasil penciptaan bersama rakyat Malaysia dengan menekankan ekosistem syarikat bukan dibangunkan semata-mata di makmal, sebaliknya diperkemas melalui ujian dunia nyata dan maklum balas pengguna Beta tempatan, jurugambar serta pelajar.
"Anugerah hari ini diberikan bagi menghargai para penyumbang penting ini yang berkongsi pandangan mereka lalu memastikan teknologi HONOR terus memenuhi keperluan khusus para pengguna," katanya.
Sementara itu, dalam malam gala tersebut juga, syarikat berkenaan turut mengumumkan ‘HONOR of Malaysia Awards Project’, sebuah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) jangka panjang untuk mengiktiraf rakyat Malaysia biasa yang menumpukan kehidupan mereka berkhidmat kepada masyarakat.
Pelancaran projek tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching.
Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen HONOR untuk menyumbang secara bermakna kepada Malaysia ketika negara melangkah ke fasa pertumbuhan seterusnya.
Sebagai fasa sulung program, syarikat berkenaan bersama rakan media telah mengiktiraf tiga individu sebagai penerima anugerah ‘HONOR of Malaysia’, iaitu Mohd Adli Yahya, Cikgu Prakash dan Mak Jah.
Penyampaian anugerah tersebut telah disempurnakan oleh bekas Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Abdul Majid Ahmad Khan.
Dalam pada itu, bagi menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), HONOR akan melancarkan Jelajah Fotografi Kebangsaan menampilkan landskap Malaysia, warisan budaya serta kisah harian menerusi fotografi mudah alih.
Program tersebut menggalakkan jurugambar meneroka destinasi popular, menyertai bengkel serta aktiviti setempat.
Hasil karya terpilih akan dipamerkan di peringkat antarabangsa sempena Pameran Global HONOR 2026. Penyertaan akan dibuka tidak lama lagi.