'Kami hanya sempat jadi suami isteri dua hari'

Iklan
Irfan Syabil dan Nur Ain Izayu hanya sempat bergelar suami isteri dua hari apabila isterinya maut dalam kemalangan jalan raya pada 2 Februari lalu di Gual Ipoh, Tanah Merah. Foto Irfan Syabil

TANAH MERAH -"Kami hanya sempat jadi suami isteri dua hari."

Demikiah luah Irfan Syabil Ibrahim, 23, yang merupakan seorang pengawal keselamatan berasal dari Pekan, Pahang apabila dia dan isteri, Allahyarhamah Nur Ain Izayu Rosli, 28, mengalami kemalangan jalan raya selepas dua hari bergelar raja sehari.

Iklan
Iklan

Kata anak sulung daripada empat beradik itu, majlis akad nikah mereka berlangsung pada 31 Januari dan kemalangan yang meragut nyawa isterinya berlaku 2 Februari sekitar jam 10 pagi.

Menurutnya, ketika itu dia dan isteri dalam perjalanan pulang ke rumah selepas hadir ke Pejabat Agama Jajahan Tanah Merah di sini untuk menyerahkan borang.

Iklan

"Pada pagi kejadian, saya dan isteri sempat menghantar adik-adiknya ke sekolah, kemudian ke dobi mencuci pakaian.

"Semasa memandu pulang, saya dipercayai pitam secara tiba-tiba. Apabila sedar saya terlibat dengan kemalangan dan orang ramai sedang membantu kami.

Iklan

"Saya tersepit di dalam kereta ketika itu dan sempat melihat isteri muntah darah," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Irfan Syabil memberitahu, kereta yang dipandunya telah terbabas dan melanggar konkrit longkang yang mana mengakibatkan kecederaan parah pada Nur Ain Izayu.

Ujarnya, pada ketika itu dia hanya mampu berdoa agar isterinya selamat dan sempat meminta pertolongan agar membawa Nur Ain Izayu yang merupakan anak sulung daripada tujuh beradik tersebut dibawa ke hospital segera untuk mendapatkan rawatan.

Kata dia, namun impiannya untuk melihat isteri yang dicintai sejak lima tahun lalu itu pulih kembali musnah apabila dimaklumkan oleh doktor, Nur Ain Izayu sudah meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

"Hanya ALLAH yang tahu betapa sedihnya saya ketika itu, kami sudah berkenalan sejak tahun 2020 melalui Instagram dan menjalinkan hubungan cinta jarak jauh sebelum diijabkabulkan.

"Kuasa ALLAH, kami hanya sempat menjadi suami isteri dua hari. Walaupun sukar untuk menerima takdir ini, namun saya reda," katanya.

Menurut Irfan Syabil, majlis bertandang sepatutnya diadakan pada 15 Februari itu di Pahang, namun ditukar kepada tahlil untuk isterinya.

Ujarnya, dia kini masih di Gual Ipoh di sini kerana mengalami patah kaki kiri dan terpaksa menggunakan kerusi roda serta tongkat untuk bergerak.

Dia kini dijaga oleh keluarga mentua yang disifatkan sangat baik hati kepadanya walaupun baharu berkenalan.

"Saya kini berada di rumah keluarga mentua untuk tenangkan diri dan mudah untuk melawat kubur arwah. Setiap hari saya ke ke kubur arwah untuk melepaskan rindu," katanya.