PUTRAJAYA - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong kekal menjalani hukuman penjara lapan tahun di Penjara Kajang dan dua sebatan kerana merogol pembantu rumahnya, tujuh tahun lalu.
Ia selepas panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan di sini pada Jumaat, menolak permohonan Paul untuk mendapatkan kebenaran bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan sabitan bersalah dan hukuman yang dikenakan terhadapnya.
Panel yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah berkata, Paul selaku pemohon gagal memenuhi ambang yang dikehendaki, untuk memperoleh kebenaran bagi semakan semula di bawah Peraturan 137 Peraturan Mahkamah Persekutuan 1995.
"Kami berpendapat bahawa pihak-pihak telah diberi peluang sepenuhnya dan tiada pelanggaran keadilan berlaku.
"Oleh itu, kami menolak permohonannya," katanya yang bersidang bersama Hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Mendengar perkara itu, bekas ahli politik berusia 56 tahun yang memakai baju penjara berwarna jingga, kelihatan tenang dan tidak memberi reaksi yang ketara, sambil diperhatikan ahli keluarga yang berada di galeri awam.
Semasa hujahan, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Paul berkata, anak guamnya wajar diberikan kebenaran untuk menyemak kerana pemohon telah mengalami salah laku keadilan yang serius.
Menurutnya, ini kerana hak anak guam untuk didengar dinafikan secara tidak sengaja oleh panel terdahulu.
"Pelanggaran keadilan berlaku dalam kes ini apabila hakim perbicaraan gagal mempertimbangkan kenyataan Paul yang diberi kepada polis semasa siasatan dibuat sebagai keterangan, mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah," kata peguam.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim berhujah, kes Paul bukan suatu yang sesuai untuk mahkamah menggunakan kuasa sedia ada untuk menjalankan semakan.
Beliau berkata, isu-isu yang dibangkitkan oleh pemohon telah dibicarakan dan dihujahkan malah menjadi asas rayuannya di Mahkamah Rayuan serta Persekutuan.
"Tidak munasabah untuk mempersoalkan fakta dan undang-undang supaya dibincangkan semula pada peringkat ini.
"Jadi jika dibenarkan, sebarang prosiding tidak akan berakhir dan akan menggagalkan prinsip muktamad dalam sesuatu kes," katanya.
Paul didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak pada 23 Ogos 2019 atas satu pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia ketika kejadian berusia 23 tahun di sebuah bilik di rumah tertuduh, di daerah tersebut antara jam 8.15 hingga 9.15 malam 7 Julai 2019.
Pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan memerintahkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi daerah sama.
Perbicaraan bermula 5 April 2021 dengan 23 individu termasuk dua saksi terlindung telah dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan.
Paul diperintah untuk membela diri atas pertuduhan tersebut pada 7 Disember tahun sama.
Pada 27 Julai 2022, Hakim, Datuk Abdul Wahab Mohamed mendapati bekas Exco Kerajaan Negeri Perak terbabit bersalah dan dihukum penjara 13 tahun serta dua sebatan.
Pada 1 Mac 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan di sini mengekalkan sabitan dan hukuman itu.
Bagaimanapun mahkamah mengurangkan hukuman penjara daripada 13 tahun kepada lapan tahun.
Pada 1 Oktober 2025, bekas wakil rakyat DAP itu diperintah menjalani hukuman penjara oleh Mahkamah Persekutuan selepas menolak rayuan akhir, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terbabit.
ARTIKEL BERKAITAN: [KRONOLOGI] Kes rogol babit Paul Yong
Paul Yong terkejut keputusan sabitan rogol kekal, perasaan keluarga hancur
Rogol pembantu rumah: Paul Yong ke Penjara Kajang serta-merta