SEREMBAN - Seorang pengarah syarikat agensi pelancongan dan umrah didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan menyalahgunakan harta iaitu wang berjumlah lebih RM40,000 milik seorang lelaki tahun lalu.
Tertuduh, Siti Fairuz Omar, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah secara curangnya menyalahgunakan harta yang dimiliki oleh seorang individu lelaki berusia 42 tahun iaitu wang berjumlah RM41,940.
Kesalahan itu dilakukan di SIGC Paroi, di sini pada 7 September hingga 19 November 2025.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang enam bulan atau maksimum lima tahun dengan sebat dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur 'Aqilah Syarfa Nik Zaidi menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon jaminan paling minimum atas alasan telah hilang pendapatan sejak kes berlaku.
"Saya baru mula meniaga di warung secara kecil-kecilan dan menanggung ibu yang sakit.
"Selain itu, saya memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis dan ada membuat pembayaran kepada pengadu (mangsa) walaupun kes sedang berjalan," katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 Mac depan bagi serahan dokumen serta lantikan peguam.