ANUGERAH Kecemerlangan Agro Madani menjadi platform untuk menghargai usaha gigih semua pihak yang terlibat dalam rantaian nilai industri makanan negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pengiktirafan yang diterima bukan sekadar satu penghormatan, tetapi merupakan amanah untuk terus menjadi contoh, peneraju dan pemangkin kepada pembangunan sektor agromakanan Malaysia.
Menurut beliau, kerajaan melalui kementeriannya akan terus komited dalam memperkukuhkan sektor ini menerusi pelbagai inisiatif, termasuk pemerkasaan teknologi pertanian pintar dan digital.
“Ini termasuk peningkatan produktiviti dan kecekapan rantaian bekalan makanan, penggalakan penglibatan golongan muda serta usahawan baharu dalam industri agro.
“Selain itu, ia turut memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan. Kita percaya bahawa dengan kerjasama erat semua pihak, Malaysia mampu mencapai tahap keterjaminan makanan yang lebih kukuh serta menjadi hab agromakanan yang berdaya saing di peringkat serantau dan global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Agro Madani yang turut dihadiri Pengerusi MySKALA, Osman, dan Timbalan Pengerusi MySKALA, Syed Nabil Aljeffri.
Antara pengiktirafan yang disampaikan ialah anugerah kecemerlangan industri termasuk dalam bidang pertanian, pemprosesan makanan dan makanan serta minuman (F&B).
Sementara itu, Fazrul Nizam yang juga Pengerusi Penganjur berkata, anugerah itu dianjurkan bagi memberi pengiktirafan kepada pelbagai pengusaha industri pertanian dan makanan yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan industri pemakanan negara.
Selain itu, katanya, anugerah tersebut turut memberi pengiktirafan khas kepada penyumbang teknologi, pelopor industri berkesan, kerjasama koperasi cemerlang serta kecemerlangan Bumiputera.
“Program ini memberi pengiktirafan khusus kepada kecemerlangan individu berdasarkan keusahawanan cemerlang dan pencapaian sepanjang hayat hasil sumbangan yang tidak ternilai kepada rantaian bekalan negara,” katanya.