Solarvest jamin kenaikan kos panel solar tidak jejaskan prestasi

Iklan
Solarvest Holdings Berhad memberi jaminan kenaikan kos panel solar global tidak menjejaskan prestasi syarikat.

SHAH ALAM– Solarvest Holdings Berhad (Solarvest) memberi jaminan bahawa peningkatan kos panel solar di peringkat global tidak memberi kesan ketara terhadap prestasi syarikat susulan langkah mitigasi risiko yang telah dilaksanakan lebih awal.

Solarvest Holdings Berhad dalam satu kenyataan berkata, laporan media berkaitan kenaikan kos panel solar susulan penamatan rebat cukai eksport oleh China tidak mencerminkan sepenuhnya kedudukan pasaran dan strategi pengurusan risiko syarikat.

Iklan
Iklan

“Solarvest telah mengunci tempahan menyeluruh berkapasiti 2GW dengan pembekal pada harga tetap pada separuh tahun kedua 2025 sebelum pengumuman terbaharu kerajaan China mengenai penamatan rebat cukai eksport sebanyak sembilan peratus.

“Susunan perolehan awal ini memastikan keperluan projek syarikat dipenuhi bagi tempoh 18 hingga 24 bulan akan datang dengan kontrak tersebut disokong oleh deposit boleh dikembalikan serta jaminan bank bagi melindungi syarikat daripada risiko ketidakpatuhan pembekal,” kata kenyataan itu pada Khamis.

Iklan

Menurut kenyataan itu lagi, berbekalkan hubungan jangka panjang dengan pembekal mapan, Solarvest tidak menjangkakan sebarang gangguan terhadap pelaksanaan projek atau penghantaran susulan pergerakan harga terkini.

“Dalam situasi luar jangka, perlindungan kontrak sedia ada membolehkan syarikat mendapatkan semula deposit dan menguatkuasakan jaminan bank berkaitan.

Iklan

"Walaupun harga modul solar meningkat di peringkat global, strategi perolehan Solarvest yang disokong pengukuhan nilai ringgit membantu mengehadkan impak terhadap margin bersih," katanya.

Dalam masa sama, penganalisis bebas mengesahkan tekanan margin syarikat masih terkawal manakala asas jangka panjang Solarvest kekal kukuh dengan pengekalan penarafan ‘Buy’ dan ‘Outperform’.

Tambahnya, Solarvest terus melaksanakan strategi pertumbuhan berdaya tahan yang disokong oleh aktiviti kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) serta pemilikan aset.

“Syarikat itu juga meneruskan pengambilalihan strategik dan memperkukuh saluran projek serantau bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang.

“Solarvest kekal yakin keupayaannya menyesuaikan diri dengan landskap kos yang berubah di samping terus menjana nilai mampan kepada pihak berkepentingan dan menyokong agenda peralihan tenaga bersih negara,” katanya.