'Import' anak dara tingkatkan kadar kelahiran Korea Selatan

Iklan
Korea Selatan kini berdepan kadar kelahiran terendah di dunia dengan hanya 0.75 kelahiran bagi setiap wanita pada 2024. Foto: Agensi

SEOUL – Cadangan seorang gabenor wilayah di Korea Selatan untuk 'mengimport anak dara dari Sri Lanka dan Vietnam' bagi mengatasi penyusutan populasi luar bandar mencetuskan kemarahan dan kecaman meluas.

Gabenor Daerah Jindo, Kim Hee-soo, mengemukakan cadangan itu ketika sesi dialog awam di Wilayah Jeolla Selatan bagi membincangkan penggabungan pentadbiran beberapa bandar dan daerah dengan Bandar Metropolitan Gwangju.

Iklan
Iklan

“Daripada 89 kawasan di seluruh negara yang berdepan penyusutan populasi, 20 peratus terletak di Jeolla Selatan.

"Kita perlu menyelesaikan krisis kepupusan ini,” katanya seperti dilaporkan akhbar Maeil Business.

Iklan

Hee-soo menegaskan, penggabungan pentadbiran tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pembangunan industri, sebaliknya perlu menangani isu penyusutan penduduk.

Beliau kemudian mencadangkan agar langkah khas dilaksanakan termasuk mengimport anak dara dari Sri Lanka dan Vietnam untuk dikahwinkan dengan lelaki bujang di luar bandar.

Iklan

Kenyataan itu mencetuskan bantahan bukan sahaja dalam kalangan lebih 100 hadirin, malah di seluruh negara memandangkan sesi berkenaan disiarkan secara langsung.

Pada masa sama, Datuk Bandar Gwangju, Kang Ki-jung yang menyifatkan pendekatan melibatkan warga asing dan perkahwinan sebagai tidak tepat serta tidak sensitif terhadap hak asasi manusia, kepelbagaian budaya dan isu jantina.

Beberapa peserta dialog turut menganggap kenyataan Hee-soo sebagai kasar kerana menyebut warga asing sebagai 'import' dan menamakan negara tertentu.

Korea Selatan kini berdepan kadar kelahiran terendah di dunia dengan hanya 0.75 kelahiran bagi setiap wanita pada 2024, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap masa depan populasi negara itu.

Pakar turut menganggarkan populasi negara itu yang kini sekitar 50 juta penduduk berpotensi menyusut separuh dalam tempoh 60 tahun.

Situasi itu diburukkan lagi dengan penghijrahan golongan muda ke Seoul bagi mencari pekerjaan dan peluang yang lebih baik, sekali gus mendorong banyak komuniti luar bandar dan bandar kecil ke arah penyusutan penduduk.

Kerajaan Korea Selatan telah melaksanakan pelbagai usaha termasuk memperkenalkan program pendapatan asas luar bandar di 10 kawasan berisiko susut populasi, masing-masing dengan kurang 50,000 penduduk, menerima baucar bernilai 150,000 won (RM402) sebulan selama dua tahun.