Zionis sembur 'bahan misteri' ke selatan Lubnan

Iklan
Api menjulang tinggi susulan letupan yang berpunca daripada serangan udara Zionis di perkampungan Kfar Tibnit, selatan Lubnan.

BEIRUT - Presiden Lubnan, Joseph Aoun mendakwa Israel melakukan jenayah alam sekitar selepas tentera Zionis menyembur bahan tidak diketahui dipercayai beracun ke atas bandar-bandar di selatan Lubnan.

Aoun turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan pencerobohan melampau tersebut.

Iklan
Iklan

"Saya telah mengarahkan beberapa agensi kerajaan supaya memberi respons tegas dengan mengambil langkah sewajarnya. Ia jelas satu bentuk pelanggaran secara terang-terangan ke atas kedaulatan negara ini," tegasnya pada Rabu.

Menurutnya, insiden tersebut merupakan kesinambungan serangan berulang Israel terhadap Beirut.

Iklan

Sejak Hizbullah dan Israel mencapai perjanjian gencatan senjata pada November 2024, askar Zionis telah mencabuli kesepakatan tersebut dengan menyerang Lubnan hampir setiap hari.

“Serangan berbahaya yang menyasarkan tanah pertanian, mengancam kesihatan penduduk dan alam sekitar ini memerlukan tindakan segera komuniti antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kempen pencerobohan tersebut perlu dihentikan,” kata Aoun.

Iklan

Kepulan asap tebal memenuhi bangunan kediaman di perkampungan Ain Qana yang dibedil Israel.

Sementara itu, pasukan pengaman PBB di selatan Lubnan (UNIFIL), berkata, tentera Israel memaklumkan terlebih dahulu tentang operasi mahu menyembur 'bahan kimia tidak beracun' dari udara ke kawasan berhampiran sempadan.

“Mereka sewenang-wenangnya mengarahkan anggota kami supaya kekal berlindung dan membatalkan aktiviti harian,” kata UNIFIL.

Stephane Dujarric yang merupakan jurucakap Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengesahkan UNIFIL terpaksa menggantung operasinya selama sembilan jam akibat serangan itu.

Pasukan tersebut kemudiannya bekerjasama dengan tentera Lubnan untuk mengumpulkan sampel bahan yang disembur bagi menguji tahap ketoksikannya.

“Sebarang kegiatan yang berisiko mengancam pasukan pengaman dan orang awam adalah perkara yang amat membimbangkan. Kami mengulangi gesaan kepada semua pihak supaya mematuhi kewajipan di bawah Resolusi 1701," menurutnya lagi.

Kawasan penempatan terus menjadi sasaran serangan ganas Zionis.

Difahamkan, Resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) 1701 yang menamatkan perang antara Israel dan Hizbullah pada 2006 kekal sebagai asas kepada gencatan senjata di selatan Lubnan.

Israel bagaimanapun terus menduduki lima kawasan di wilayah Lubnan dan menghalang pembinaan semula beberapa perkampungan sempadan yang telah musnah, sekali gus menghalang puluhan ribu penduduk yang dipindahkan pulang ke rumah mereka.

Beirut telah berusaha mengekang pelanggaran Israel melalui usaha diplomasi, namun tidak berhasil.

Pada bulan lalu, Kementerian Luar Lubnan mengemukakan aduan kepada PBB dengan mendokumentasikan 2,036 pelanggaran gencatan senjata oleh Israel dalam tempoh tiga bulan terakhir 2025.

Anggota UNIFIL memeriksa lokasi di mana Israel didakwa memasang alat letupan di pinggir al-Khiam, selatan Beirut.

Pada masa sama, Beirut turut mengeluarkan dekri untuk melucutkan senjata Hizbullah yang ditentang keras kumpulan proksi Iran tersebut.

Ia menegaskan sayap bersenjatanya masih diperlukan untuk menghalang peluasan cengkaman Israel di negara tersebut.

Meskipun enggan meletakkan senjata sepenuhnya, Hizbullah secara tersirat bersetuju untuk menyerahkan senjata di selatan Sungai Litani berhampiran sempadan Israel selaras dengan Resolusi PBB 1701 dan proses tersebut sudah pun selesai.

Peringkat kedua pelan pelucutan senjata pula akan meliputi wilayah selatan Sungai Awali, terletak kira-kira 40 kilometer di utara Litani. - Agensi