Perhilitan siasat tapak kaki haiwan disyaki harimau di TIEP, Lembah Bidong

Iklan
Maklumat tular berhubung penemuan tapak kaki haiwan didakwa harimau di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong di Setiu.

SETIU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu menjalankan siasatan berhubung penemuan tapak kaki haiwan didakwa harimau di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, di sini.

Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu pada 29 Januari lalu dan siasatan awal telah dilaksanakan pada hari sama.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kamera perangkap (camera trap) turut dipasang bagi mengenal pasti hidupan liar yang terlibat serta memantau pergerakan haiwan di kawasan berkenaan.

“Hasil siasatan setakat ini mendapati tapak kaki yang dikesan adalah milik tapir, anjing, babi hutan dan lembu, namun siasatan serta pemantauan masih diteruskan oleh pihak jabatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi sekitar juga tidak menemukan sebarang bukti yang menunjukkan kehadiran harimau belang, termasuk ketiadaan kawasan berbukit yang lazimnya menjadi habitat haiwan berkenaan.

“Analisis lanjut rakaman kamera perangkap akan dilakukan hari ini bagi mendapatkan pengesahan lebih terperinci,” katanya.

Iklan

Terdahulu, tular gambar tapak kaki haiwan yang didakwa sebagai tapak harimau yang dirakam di kawasan TIEP sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang awam.

Maklumat tersebar itu turut memaklumkan bahawa latihan menunggang kuda menggunakan trek di kawasan berkenaan tidak dibenarkan buat sementara waktu atas faktor keselamatan.