SETIU – Penduduk dan peniaga di Bandar Permaisuri di sini meluahkan kebimbangan terhadap keadaan sebuah jambatan gantung di Sungai Setiu yang dilaporkan rosak dan uzur sejak lima tahun lalu.
Seorang peniaga, Siti Nora Hassan, 58, berkata, jambatan sepanjang kira-kira 50 meter itu telah beberapa kali dibina semula dalam tempoh lebih 20 tahun lalu, namun tidak lagi diselenggara selepas mengalami kerosakan sejak lima tahun kebelakangan ini.
“Struktur jambatan ini berada dalam keadaan membimbangkan apabila sebahagian komponennya rosak dan tercabut, termasuk bahagian tengah serta pagar keselamatan.
“Keadaan ini sangat merisaukan kerana boleh mengancam keselamatan orang ramai yang menggunakannya. Jika tidak dibaiki, kami bimbang berlaku insiden yang tidak diingini,” katanya ketika ditemui di Bandar Permaisuri di sini.
Ujarnya, jambatan gantung itu sebelum ini menjadi laluan pejalan kaki untuk menyeberangi sungai sebagai jalan alternatif tanpa perlu melalui jalan raya utama yang sibuk.
Tambah beliau, laluan tersebut juga sering digunakan pelajar untuk pergi dan pulang dari sekolah kerana lebih selamat serta tidak terdedah kepada risiko kenderaan ringan dan berat.
Menurut Siti Nora, keadaan jambatan itu semakin parah selepas dihentam kayu balak yang hanyut ketika banjir besar melanda kawasan tersebut pada 2022.
“Ketika ini jambatan terpaksa ditutup dan orang ramai mengalami kesukaran untuk menyeberangi sungai dari kawasan perniagaan ke seberang. Mereka terpaksa menggunakan jalan utama yang sentiasa sibuk dengan kenderaan,” jelasnya.
Sementara itu, seorang penduduk, Hasliza Ramli, 52, berkata jambatan berkenaan sebelum ini turut menjadi tarikan kepada pengunjung dan pelancong yang singgah berehat atau menikmati makanan di deretan kedai makan berhampiran.
Katanya, kerosakan jambatan itu turut memberi kesan kepada aktiviti rekreasi, khususnya kepada kaki pancing kerana kawasan berkenaan terkenal dengan aktiviti menangkap udang galah.
“Dahulu ramai datang ke jambatan ini untuk bergambar, namun kini ia tidak dibenarkan atas faktor keselamatan, lebih-lebih lagi sekiranya melibatkan kanak-kanak.
“Justeru, kami penduduk dan peniaga berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera untuk membaik pulih jambatan gantung berkenaan demi kemudahan serta keselamatan orang ramai,” katanya.