Sindiket disyaki dalang kes kecurian kabel tembaga rel - Anthony

Iklan
Anthony (dua dari kiri) bergambar selepas Sesi Pengenalan Penjejak Penjimatan My50 dan pendigitalan Pas Rapid Kota dan Rapid Kembara di Stesen LRT Ampang Park di sini pada Khamis.

AMPANG – Kegiatan kecurian kabel rel dipercayai didalangi sindiket tertentu berikutan harga tembaga yang mempunyai nilai pasaran tinggi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, peningkatan harga tembaga menyebabkan kegiatan itu semakin aktif walaupun berisiko tinggi, khususnya di kawasan laluan rel yang sukar dipantau.

Iklan
Iklan

“Apabila harga tembaga meningkat, aktiviti ini akan menjadi lebih aktif sehingga mereka sanggup mengambil risiko kerana pulangannya tinggi,” katanya ketika sidang akhbar semasa Sesi Pengenalan Penjejak Penjimatan My50 dan pendigitalan Pas Rapid Kota serta Rapid Kembara di Stesen LRT Ampang Park pada Khamis.

Jelas beliau, kecurian kabel rel tidak wajar dilihat sebagai jenayah kecil kerana kesannya sangat besar terhadap operasi pengangkutan awam, termasuk gangguan perkhidmatan serta risiko keselamatan kepada pengguna.

Iklan

“Ini bukan sekadar kes kecurian biasa kerana setiap kali kabel dicuri, operasi rel terganggu dan keselamatan perkhidmatan turut terjejas,” tegasnya.

Anthony berkata, pengendali seperti Prasarana Malaysia Berhad dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) antara pihak yang sering menjadi mangsa dengan kerugian besar terpaksa ditanggung akibat gangguan sistem dan kerja pembaikan.

Iklan

Beliau menegaskan, hukuman sedia ada termasuk denda yang rendah tidak memberi kesan pencegahan serta gagal menghantar mesej tegas kepada pelaku.

“Kecurian kabel ini saya sifatkan sebagai satu bentuk sabotaj terhadap kemudahan awam, bukan jenayah kecil,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyokong usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk meminda undang-undang bagi memastikan hukuman lebih berat dapat dikenakan terhadap pelaku, selain memperkukuh tindakan penguatkuasaan oleh pihak polis.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, aspek reka bentuk dan perlindungan infrastruktur sememangnya perlu diteliti oleh pengendali, namun kebanyakan sistem sedia ada telah dibina sejak bertahun-tahun lalu dan perubahan struktur secara menyeluruh melibatkan kos yang besar.

“Lebih penting ialah penyelenggaraan, penguatkuasaan serta mesej tegas mesti disampaikan, selain polis mempunyai peranan penting dalam membanteras pencerobohan dan kecurian kabel ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberi amaran kepada pencuri supaya tidak menceroboh kawasan larangan kerana laluan rel merupakan kawasan beraliran elektrik yang berbahaya.

“Kawasan ‘live track’ ialah kawasan larangan. Jika berlaku kemalangan atau kehilangan nyawa, itu akibat risiko yang mereka ambil sendiri,” katanya.

Sinar Harian pada Selasa lalu melaporkan, KDN mengakui terdapat keperluan mendesak untuk meneliti dan meminda peruntukan undang-undang sedia ada berhubung kes kecurian kabel rel bagi memastikan hukuman yang dikenakan benar-benar memberi kesan pencegahan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam satu pertemuan bersama Anthony dengan semua operator perkhidmatan kereta api termasuk Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) selaku pemilik projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta Prasarana baru-baru ini.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan harga tembaga dan logam yang tinggi di pasaran mendorong sindiket curi kabel menyasarkan landasan rel sehingga menyebabkan gangguan perkhidmatan.

Kerugian yang dialami Prasarana mencecah RM20.6 juta sejak 2023, dengan peningkatan kes mula ketara sejak 2024.