Lelaki pegang parang, tunjuk jari tengah dikenal pasti

Iklan
Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki memegang parang serta menunjukkan isyarat tidak sopan dalam kejadian di Pekan Baru, Ipoh.

IPOH - Polis telah mengenal pasti individu yang memegang parang serta menunjukkan isyarat 'jari tengah' dalam sebuah video tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya melalui Bahagian Siasatan Jenayah telah menggerakkan pasukan untuk mengesan lelaki terbabit yang merupakan warga tempatan bagi membantu siasatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati insiden dalam video berdurasi kira-kira 25 saat itu berlaku pada 15 Januari lalu, namun hanya dimuat naik dan tular di media sosial pada Khamis.

"Siasatan awal mendapati subjek terlibat berada di dalam sebuah kenderaan semasa rakaman dibuat dan memegang sebilah parang.

Iklan

"Walaupun parang tersebut tidak digunakan sebagai senjata untuk melakukan ancaman secara langsung, perbuatan memegang senjata itu telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan orang awam yang menonton video tersebut," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada Khamis.

Beliau berkata, penelitian lanjut terhadap rakaman tersebut mendapati individu sama turut menunjukkan isyarat tidak sopan kepada pihak yang menegur tindakannya, sekali gus mencetuskan reaksi negatif di media sosial.

Iklan

"Siasatan sedang dijalankan. Kita jangka kes ini dapat diselesaikan hari ini juga," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, setakat ini tiada sebarang laporan polis diterima daripada mana-mana individu berkaitan video tular tersebut.

Katanya, meskipun video berkenaan tidak memaparkan maklumat lokasi secara jelas, namun pihak polis mengesyaki kejadian itu berlaku di sekitar Pekan Baru, Ipoh.

"Kes ini dikesan hasil pemantauan video tular sahaja dan bukan berdasarkan laporan daripada pengadu.

"Buat masa ini, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah," katanya.