Syarikat pengangkutan perlu pastikan pemandu bebas dadah - Anthony

Iklan
Anthony Loke (tengah) ketika sidang akhbar selepas pelancaran Penjejak Penjimatan Pas My50 serta kemudahan pembelian Pas Rapid Kota dan Pas Rapid Kembara secara digital melalui aplikasi Touch n Go di Stesen LRT Ampang Park hari ini. - Foto: Bernama

AMPANG – Syarikat dan operator pengangkutan diingatkan supaya mengambil tindakan tegas bagi memastikan semua pemandu kenderaan berat mereka bebas daripada pengaruh dadah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kementeriannya memandang serius isu membabitkan pemandu kenderaan berat yang memandu di bawah pengaruh dadah.

Iklan
Iklan

“Bukan sahaja pihak berkuasa yang perlu mengambil tindakan, malah syarikat juga perlu mempunyai perancangan untuk memastikan pemandu mereka tidak menggunakan dadah.

“Ini sangat membahayakan pengguna jalan raya dan semua pihak perlu mengambil serius isu ini,” katanya pada sidang akhbar semasa Sesi Pengenalan Penjejak Penjimatan My50 dan pendigitalan Pas Rapid Kota serta Rapid Kembara di Stesen LRT Ampang Park, di sini, pada Khamis.

Iklan

Dalam pada itu, Anthony memaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengambil langkah segera bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya di kawasan kejadian nahas bas sewa yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun tahun lalu.

Beliau berkata, antara tindakan yang diambil termasuk menambah garisan jalan yang lebih jelas serta memasang lampu jalan di kawasan yang gelap dan berkabus.

Iklan

“Dengan langkah keselamatan ini, keselamatan pemandu serta pengguna jalan raya lain dapat dipertingkatkan,” ujarnya.

Menurut beliau, punca utama insiden tersebut adalah disebabkan pemandu memandu melebihi had laju serta masalah brek yang tidak berfungsi dengan baik.

“Berdasarkan laporan terkini, pemandu bas berkenaan memecut sehingga 114 kilometer sejam ketika menuruni bukit.

“Salah satu punca brek tidak berfungsi dengan baik mungkin disebabkan pemandu memecut sepanjang perjalanan,” jelas beliau.

Mengulas mengenai pelancaran penjejak penjimatan pas My50, Anthony berkata, inisiatif itu membolehkan pengguna memantau perjalanan serta penjimatan bulanan secara digital melalui Touch ‘n Go e-Wallet.

Katanya, ciri baharu itu memudahkan lebih 200,000 pengguna My50 setiap bulan untuk memperbaharui pas masing-masing tanpa perlu beratur di kaunter.

“Setakat Januari, seramai 103,280 pengguna telah menggunakan Touch ‘n Go e-Wallet, berbanding 86,094 pengguna yang masih menggunakan kaunter,” katanya.

Beliau menjelaskan, pengguna boleh merekodkan perjalanan mereka dan menerima notis sekiranya jumlah perjalanan belum mencapai nilai RM50 bagi memastikan penggunaan pas dapat dioptimumkan.

“Setelah melebihi nilai RM50, pengguna boleh melihat jumlah penjimatan yang diperoleh setiap bulan serta jumlah perjalanan yang telah direkodkan.

“Kos sebenar penggunaan My50 ialah RM150 sebulan dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM100 bagi setiap pengguna. Pada tahun lalu, kerajaan membelanjakan hampir RM300 juta untuk subsidi My50,” tambah beliau.