KOTA KINABALU - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah berjaya merampas sebanyak 27 tan ayam sejuk beku import tanpa sebarang permit dalam satu operasi di Pelabuhan Sepanggar di sini pada Jumaat lalu.
Dalam operasi tersebut, hasil pemeriksaan menemui paha ayam bernilai RM268,410 dipercayai untuk diedarkan di negeri ini.
Pengarah DVS Sabah, Dr Zul Bahar Abdul Rashid berkata, rampasan itu berjaya dilaksanakan hasil daripada risikan yang dilakukan secara terancang dan berperingkat.
"Operasi yang diketuai oleh DVS Kota Kinabalu ini melibatkan pemeriksaan sebuah kontena di Pelabuhan Sepanggar sebelum tindakan susulan diambil di sebuah premis bilik sejuk di Inanam Laut.
"Pemeriksaan mendapati pemilik gagal mengemukakan sebarang permit atau lesen import yang dikeluarkan oleh DVS dan susulan daripada itu, tindakan sitaan telah diambil ke atas 27,000 kilogram produk paha ayam sejuk beku, selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sebelum itu, Zul Bahar berkata, operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama Unit Penguatkuasaan DVS Kota Kinabalu, Unit Pemeriksa Veterinar serta Unit Kuarantin DVS Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan Kargo.
"Operasi ini juga selaras dengan komitmen berterusan DVS Sabah dalam memperkukuh keselamatan makanan dan biosekuriti negeri," jelasnya.
Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, kerajaan negeri memandang serius sebarang cubaan membawa masuk produk makanan tanpa kelulusan yang sah kerana ia boleh menjejaskan kesihatan awam, biosekuriti serta kepercayaan rakyat terhadap sistem kawalan makanan negara.
"Operasi ini jelas membuktikan ketegasan dan komitmen berterusan Sabah dalam memastikan hanya produk yang mematuhi piawaian dan undang-undang dibenarkan berada di pasaran," katanya.