KUALA LUMPUR - Kerajaan bersedia memberikan ruang kebebasan media yang lebih terbuka termasuk mempertimbangkan kajian semula undang-undang berkaitan, selaras dengan kematangan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, beliau berkata, kebebasan itu tidak bersifat mutlak bagi mengelakkan penyebaran fitnah serta sebarang bentuk provokasi melampau yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.
"Saya setuju kita beri kebebasan kerana negara kian matang. Sekarang negara sudah merdeka, bebas, jadi kita harus beri ruang … negara mesti maju dengan peredaran masa.
"Harus beri ruang lebih terbuka, orang boleh tegur, boleh beri pandangan, tetapi mesti ada juga satu ruang yang kecelaruan itu ataupun keterlanjuran itu juga dibetulkan," kata beliau pada sesi dialog Temu Anwar di Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT), di sini hari ini.
Beliau berkata, perbincangan lanjut akan diadakan dengan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bagi memperincikan cadangan kajian semula undang-undang berkaitan.
Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan pelajar berhubung kesediaan kerajaan untuk mengkaji semula atau memansuhkan undang-undang media sedia ada bagi mengelakkan pertindihan peraturan, sekali gus memperkukuh peranan Majlis Media Malaysia.
Beliau berkata, kerajaan sebelum ini secara prinsip bersetuju memperkasakan profesionalisme kewartawanan melalui penubuhan majlis itu sebagai badan kawal selia kendiri.
Terdahulu, Perdana Menteri dalam ucapannya menyeru generasi muda supaya menolak sebarang sentimen perkauman dan agama bagi memastikan kestabilan serta keamanan negara terus terpelihara.
Generasi muda, kata beliau, mempunyai peranan besar dalam menentukan hala tuju negara dengan memilih jalan perpaduan berbanding perpecahan.
Anwar berkata, pemimpin masa hadapan perlu berani membuat keputusan yang tepat demi kepentingan nasional walaupun kadangkala tindakan itu tidak popular atau mengundang kritikan hebat daripada pihak lawan.
Turut hadir pada majlis itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan,Nga Kor Ming.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pendidikan TARC, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, pengurusan tertinggi universiti, lebih 1,600 pelajar dan petugas universiti.
Pada majlis sama, Perdana Menteri turut menyerahkan replika cek geran Perbelanjaan Mengurus berjumlah RM40 juta kepada TAR UMT. - Bernama