SHAH ALAM- Tiga perkara perlu dibincang dan dibahas di Parlimen membabitkan keputusan Kerajaan Malaysia memeterai memorandum persefahaman dengan Indonesia tahun lalu berhubung penetapan garis sempadan negara yang melibatkan pertikaian antara dua negara.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi penerangan, masih banyak persoalan tidak terjawab, banyak jawapan yang belum tuntas berikutan ketiadaan ruang perbahasan.
"Awal hari ini, saya telah mengemukakan suatu usul tergempar dibawah aturan 18(1) dan 18(2) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi memohon pihak kerajaan merundingkan dan membahaskan keputusan Mesyuarat Bersama Malaysia- Indonesia ke-45 pada 18 Februari 2025.
"Usul berkenaan berkaitan dengan penyelesaian bersama Oustanding Boundary Problem antara Malaysia dan Indonesia yang melibatkan kawasan di Kalimantan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Justeru katanya, tiga perkara yang perlu dibincangkan, pertama, melibatkan persoalan proses pemeteraian memorendum persefahaman tersebut selari dengan Perkara 1 dan Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan.
Perkara kedua pula katanya, membabitkan persoalan mengenai kenyataan Setiausaha Badan Nasional Pengurusan Sempadan Indonesia (BNPP), Komjen Polis Makhruzi Rahman yang mendakwa Indonesia menerima tambahan 5,207 hektar kawasan dalam perjanjian tersebut yang sebelum ini merupakan wilayah Malaysia.
"Keterangan beliau dalam mesyuarat bersama Suruhanjaya II Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia pada 21 Januari lalu mengelirukan dan menyimpang.
"Selain itu, perkara ketiga, adakah keputusan pemeteraian memorendum persefahaman bersama dengan Kerajaan Indonesia ini hanya dibincangkan diperingkat Kabinet Kerajaan Persekutuan sahaja?
"Saya percaya hasrat untuk perkara ini dibincangkan dan dibahaskan juga disokong oleh Ahli-Ahli Parlimen dari Negeri Sabah yang terkesan akibat perubahan sempadan ini. Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga telah bangkit memohon ruang bagi mendapatkan penjelasan tambahan," katanya.
Sehubungan itu beliau berharap Yang di-Pertua Dewan Rakyat dapat mempertimbangkan supaya usul tergempar berkenaan dibahaskan, bukan sahaja dibincangkan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.