KUALA LUMPUR - Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman melaungkan janji dan akan melaksanakan 'pembersihan menyeluruh' dalam pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut Malek Razak, tiada kompromi dengan apa yang berlaku dan melanggar tatakelola, pengurusan sumber manusia, pelan pembangunan, pengurusan kewangan atau pun perolehan yang dikendalikan ATM di bawah Kementerian Pertahanan.
"Jadi, ini ialah janji kita (ATM), janji saya, janji semua yang duduk di belakang saya untuk kita menguruskan ini.
"Alhamdulillah ada hikmahnya apa yang berlaku dan itu mengajar kita. Mengajar kita untuk melihat balik, memuhasabah diri sama ada individu atau pun organisasi untuk kembali memulihkan keadaan supaya kita lebih stabil dan bersedia kerana entiti atau pun organisasi ATM ini ialah organisasi yang teguh," katanya dalam sidang akhbar Majlis Sambutan Mula Tugas Panglima Angkatan Tentera Ke-24 di Wisma Pertahanan di sini pada Selasa.
Turut hadir Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.
Malek Razak berkata, janji beliau itu berdasarkan kepada garis panduan strategik daripada Kementerian Pertahanan.
"Saya mendapat mandat utama daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan itu memberikan satu keyakinan baharu untuk kami.
"Saya dan juga semua panglima-panglima (Panglima Tentera Darat, Panglima Tentera Udara dan Panglima Tentera Laut) untuk kita terus melihat tatakolela ini dan kita akan terus menganjak menuju angkatan masa hadapan sebagaimana yang digariskan dalam pelan strategik utama ATM.
"Jadi kita akan terus bergerak, memacu ke hadapan. Kita lupakan secara total dan itu adalah satu wake up," ujarnya.
Mengulas isu semasa yang mencetuskan kebimbangan rakyat, Malek Razak berkata, ATM mengambil maklum keresahan masyarakat yang merupakan antara pemegang taruh terbesar kepada keselamatan negara.
“Kita akur dan faham kerisauan rakyat, perkara yang berlaku ini adalah satu wake up call kepada pengurusan ATM terutamanya yang melibatkan tatakelola, integriti, perolehan, pembangunan dan pengurusan kewangan,” katanya.
Beliau berkata tindakan awal telah diambil oleh Kementerian Pertahanan dalam tempoh sebulan yang lalu, dan proses penambahbaikan akan diteruskan secara menyeluruh.
Jelas Malek, beliau telah menghadap Sultan Ibrahim dan menerima beberapa titah penting yang perlu diberi perhatian segera antaranya menyentuh kepada kepimpinan melalui tauladan integriti di dalam perkhidmatan, pengurusan dan tatakelola.
“Tuanku menitahkan supaya disiplin perlu ditegakkan sebagai ketumbukan utama yang menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
"Selain itu, Seri Paduka Baginda turut menekankan soal kebajikan anggota serta keperluan memelihara dan memperkukuhkan semula moral warga ATM yang terjejas akibat perkembangan semasa selain menekankan kebajikan anggota dan memelihara serta memperkuatkan kembali moral anggota yang terjejas," ujarnya.
Dalam pada itu, Malek Razak turut menyifatkan jawatan Panglima ATM sebagai satu amanah besar terutamanya dalam keadaan semasa yang mencabar.
“Panglima Tentera is not an easy job (bukan satu kerja mudah) , terutamanya dalam keadaan sekarang, tetapi dengan kerajaan yang ada, kepimpinan tertinggi negara, Menteri Pertahanan dan seluruh warga pertahanan, kita akan kembalikan keyakinan rakyat terhadap Angkatan Tentera Malaysia,” katanya.