Pelajar kolej komuniti maut dalam nahas 3 kenderaan

Iklan
Gambar kejadian tular di media sosial.

ALOR GAJAH – Seorang pelajar kolej komuniti maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Bukit Tambun, Durian Tunggal, di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi itu, mangsa lelaki berusia 20 tahun dilaporkan dalam perjalanan dari Sungai Udang menuju ke kampus sebelum motosikal jenis Honda yang ditungganginya dipercayai hilang kawalan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, siasatan awal mendapati motosikal mangsa melanggar bahagian belakang sebelah kanan sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu seorang wanita berusia 48 tahun.

“Akibat perlanggaran tersebut, mangsa terjatuh ke laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah treler yang dipandu lelaki berusia 49 tahun.

Iklan

“Pelanggaran itu menyebabkan motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk pada keseluruhan bahagian manakala mangsa mengalami kecederaan parah,” katanya menerusi kenyataan.

Pada Rabu, tular beberapa gambar kemalangan membabitkan mangsa dengan sebuah treler di media sosial.

Iklan

Ahmad berkata, mangsa telah dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nurul Salina Rosli di talian 011-2543 5507 bagi membantu siasatan.