7.6 hektar Hutan Simpan Kuala Langat masih terbakar

Iklan
Pasukan operasi memadamkan kebakaran kawasan Hutan Simpan Kuala Langat sejak Selasa. Foto: Bomba Selangor

KUALA LANGAT - Kira-kira 7.6 hektar Hutan Simpan Kuala Langat (HSKL) Selatan di Sungai Kelambu di sini masih terbakar, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor. 

Penolong Pengarah Bahagian Operasinya, Ahmad Mukhlis Mukhtar bagaimanapun berkata, 14.9 hektar kawasan daripada hutan seluas 22.6 hektar itu berjaya dipadamkan. 

Iklan
Iklan

"Operasi hari kedua yang bermula jam 8 pagi ini dijalankan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dengan agensi bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), Skuad Pantas Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Unit Pengurusan Bencana Selangor (UPBN) serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT)," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ahmad Mukhlis berkata, kebakaran masih aktif namun tidak menjejaskan penempatan dan loji rawatan air berdekatan.

Iklan

Dalam kejadian pada Selasa, sepasukan BBP Banting dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 12.43 tengah hari.

Pasukan bertugas yang hadir melakukan pemantauan dan perbincangan bersama pegawai zon untuk operasi pemadaman.

Iklan

Pihak JPNS telah dimaklumkan dan akan menghantar bantuan ekskavator serta mengaktifkan telaga tiub berhampiran lokasi kebakaran.