JOHOR BAHRU - Laporan forensik penuh berkaitan penemuan enam rangka manusia di sebuah rumah dalam kawasan kebun kelapa sawit di Kangkar Pulai, di sini, dijangka diperoleh dalam tempoh satu hingga dua bulan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihaknya kini dalam proses melengkapkan beberapa laporan penting termasuk laporan perubatan serta laporan kimia membabitkan rangka-rangka berkenaan.
"Setakat ini, hanya suspek telah ditahan dan telah mendapat arahan tuduh di mahkamah pada Rabu. Tiada tangkapan baharu dibuat berhubung kes ini.
"Motif kejadian juga saya tidak akan dedahkan di sini, biar perkara itu didedahkan di mahkamah semasa perbicaraan nanti," katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Johor antara Deputi Komisioner Abdul Latif Mehat dan Asisten Komisioner Hoo Chuan Huat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Rabu.
Pada Rabu, dua beradik iaitu R Utes, 36, dan R Arasan, 32, didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang merupakan antara enam rangka manusia ditemukan di sebuah rumah tinggal yang musnah akibat kebakaran.
Kedua-dua tertuduh didakwa menyebabkan kematian V Thamil Selvan, 28, antara jam 12.30 tengah malam hingga 4 pagi, pada 15 September 2025.
Sebelum itu, enam rangka manusia termasuk lima sekeluarga yang dipercayai telah meninggal dunia lebih tiga bulan ditemukan di sebuah rumah terbakar di kawasan kebun kelapa sawit di Kangkar Pulai, Skudai, bulan lalu.
Ab Rahaman berkata, suami kepada salah seorang mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada 9 Januari lepas, setelah menemui rangka manusia ketika mencari isteri dan anak-anaknya yang dilaporkan hilang.
Susulan penemuan itu, pasukan patologi forensik dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor menjalankan pemeriksaan dan bedah siasat ke atas rangka yang ditemukan di rumah berhampiran sebuah kuil terbiar itu.
Hasil siasatan mendapati mangsa terdiri daripada seorang wanita dewasa berusia 35 tahun, seorang remaja perempuan berusia 19 tahun, dua kanak-kanak perempuan masing-masing berusia sembilan dan lima tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun serta seorang lelaki dewasa berusia 29 tahun.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan bagi menentukan tempoh sebenar kehilangan kesemua mangsa, namun dipercayai mereka meninggal dunia lebih tiga bulan sebelum ditemukan.
Hasil siasatan dan risikan lanjut, polis menahan empat suspek warga tempatan terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 35 tahun di sekitar Iskandar Puteri pada 21 Januari lalu bagi membantu siasatan.
Semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah.