NAKHON SI THAMMARAT – Sebuah video tular di media sosial selepas sekumpulan pelancong asing tersilap memasuki sebuah upacara pengebumian selepas menyangkanya sebagai tapak festival makanan sebelum disambut dengan penuh mesra oleh keluarga si mati sebagai tetamu kehormat, lapor Bangkok Post.
Kisah berkenaan dikongsi secara meluas pada 31 Januari, selepas seorang pengguna Facebook memuat naik rakaman kejadian berkenaan.
Dalam video tersebut, beberapa pelancong asing kelihatan memasuki kawasan upacara pengebumian selepas melihat meja-meja bulat yang dipenuhi hidangan lalu menyangka lokasi itu merupakan restoran bufet atau acara makanan tempatan.
Namun, sebaik menyedari bahawa perhimpunan tersebut sebenarnya adalah majlis pengebumian, para pelancong berkenaan kelihatan terkejut dan segera memohon maaf sambil bersiap sedia untuk beredar sebagai tanda hormat.
Bagaimanapun, tuan rumah membalas dengan senyuman dan layanan penuh ihsan, malah mempelawa mereka untuk terus duduk dan menikmati hidangan bersama.
Keluarga tersebut kemudiannya menghidangkan makanan lengkap kepada para pelancong dan menolak sebarang bayaran.
Laporan turut mendedahkan bahawa sekumpulan pelancong asing kedua juga melakukan kesilapan yang sama dan menerima layanan mesra serupa.
Insiden itu menerima pujian meluas daripada pengguna media sosial yang menyifatkannya sebagai gambaran sebenar keindahan dan daya tarikan Thailand.
Ramai berpendapat, walaupun sedang berdepan kehilangan insan tersayang, keluarga tersebut tetap memilih untuk berkongsi kebaikan dan belas ihsan dengan orang asing.
Ia merupakan satu perbuatan yang bukan sahaja dianggap sebagai amal kebajikan untuk si mati, malah mencerminkan tahap keramahan rakyat Thailand di mata pelawat antarabangsa.-Agensi