KUALA LUMPUR – Setiap soalan yang dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli Parlimen kerajaan merupakan sebahagian daripada fungsi serta peranan pembangkang di Dewan Rakyat.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, permintaan supaya Anwar menjelaskan dakwaan bahawa 5,207 hektar tanah diserahkan kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di Nunukan telah dibangkitkan sejak minggu lalu.
“Kalaupun ada ahli Parlimen yang membangkitkan isu ini, ia kerana kami membaca laporan akhbar. Sebab itu kami minta supaya Perdana Menteri membentangkan perkara ini di Parlimen.
“Kalau sudah dibentangkan, kita terima. Jika ada lagi khilaf yang timbul pada masa hadapan, kita tanya lagi.
“Itulah kerja kita. Kalau tadi Yang Amat Berhormat bercakap elok tanpa bangkit tuduh-menuduh, saya rasa perkara ini tidak timbul, kita dengar sahaja,” katanya ketika bangkit mencelah Sesi Penerangan Khas Parlimen mengenai Isu Jajaran Sempadan Malaysia–Indonesia di Dewan Rakyat pada Rabu.
Terdahulu, tindakan Anwar menegur Ahli Parlimen Pembangkang yang membuat kenyataan biadab dan menghina berkaitan isu jajaran sempadan Malaysia–Indonesia mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat.
Perdana Menteri menegaskan bahawa tuduhan pembangkang yang mendakwa beliau mengkhianati negara juga perlu diperbetulkan.
Dalam pada itu, Hamzah (PN–Larut) turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas penjelasan yang diberikan pada sesi kali ini.
“Kami di pihak sini menunggu, inilah jawapan yang kami tunggu. Sebab apabila Yang Amat Berhormat menyatakan bahawa selama ini persahabatan antara Malaysia dan Indonesia adalah baik, saya bersetuju.
“Bukan saya sahaja, rakan-rakan di sebelah sini juga bersetuju. Sebab itu kami mahu penjelasan. Kalau sudah ada penjelasan seperti ini, saya bagi pihak semua Ahli Yang Berhormat di sebelah sini mengucapkan terima kasih. Lain kali kita buat (tanya) lagi,” ujarnya.