JERTIH - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah realiti kehidupan Mohd Nor Hisham Ahamed Anyudin yang berdepan pelbagai masalah kesihatan termasuk obesiti kronik sejak 11 tahun lepas, hingga mengubah nasib hidupnya dan keluarga.
Tambah memilukan apabila isterinya, Zuriana Ramli, 42, pula hilang penglihatan sejak 2022 selain jari kaki wanita itu terpaksa dipotong ekoran penyakit kencing manis kronik.
"Kehidupan saya sekeluarga berubah sepenuhnya bermula 2015 apabila saya mengalami masalah saraf menyebabkan anggota badan saya terasa kebas dan tidak berdaya mengangkat barang walaupun yang ringan.
"Pada tahun sama tiba-tiba saya terkena strok haba menyebabkan setiap kali berdiri penglihatan saya menjadi kosong seperti kita memandang ke langit tetapi pandangan kembali normal sekiranya berbaring,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Bukit Jeruk, Jabi, di sini baru-baru ini.
Masalah kesihatan dialami lelaki berusia 45 tahun itu semakin teruk apabila pada 2018 wajah dan kepalanya pula mula membengkak secara perlahan dikuti betis kiri yang turut membesar menyerupai pesakit penyakit kaki gajah (elephantiasis), membuatkan dia hanya mampu terlantar.
Ketika itu meskipun menghidapi penyakit serius dan tidak berselera makan selama berbulan-bulan berat badannya meningkat secara mendadak hingga mencecah 159 kilogram (kg) berbanding berat asal 84kg.
"Kini, satu demi satu penyakit hilang dan kaki saya sudah kurang membengkak serta penglihatan kembali normal. Namun, berat badan masih sekitar 120kg dan masalah saraf belum sembuh selain kulit melecet di bahagian kaki hingga terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak,” katanya.
Bapa kepada dua anak itu berkata, keadaan itu menyebabkan dia tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan sedangkan sebelum ini seorang yang aktif melakukan pelbagai kerja untuk menyara keluarga, termasuk membaiki motosikal, berniaga air tebu dan berkebun sayur.
Mohd Nor Hisham berkata, kehidupannya sekeluarga semakin meresahkan apabila isterinya juga sering ke hospital untuk mendapatkan rawatan penyakit yang dihidapinya.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana orang sekeliling seperti pemimpin setempat dan saudara-mara sering menghulurkan bantuan wang ringgit mahupun tenaga, termasuk untuk anak-anaknya Muhammad Asri, 15, dan Nur Syahadah, 13, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Renek, di sini.
"Kedua-dua anak saya tinggal di asrama. Kalau ikutkan mereka mahu terus berada di rumah kerana ingin membantu saya dan isteri tetapi jarak antara rumah dan sekolah agak jauh. Saya juga bimbang mereka tidak dapat fokus pada pelajaran, jadi saya suruh mereka tinggal di asrama,” katanya.
Meskipun pasangan itu menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), adakalanya wang bantuan yang diterima tidak mencukupi kerana terpaksa membeli ubat dan menanggung kos berulang-alik ke hospital.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga tersebut boleh menyumbang ke akaun Bank Islam milik Mohd Nor Hisham (nombor akaun: 13-035-02-063708-9). - Bernama