KOTA BHARU – Aktivis media sosial diingatkan supaya memahami undang-undang dan bukannya bertindak sendiri terhadap etnik Rohingya termasuk menyerbu kawasan atau premis persendirian.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, sebarang dakwaan salah laku perlu disalurkan kepada pihak berkuasa untuk disiasat bukannya ditangani sendiri sehingga mencetuskan masalah lain.
“Ini isu kejahilan undang-undang atau tidak faham undang-undang.
“Bukan senang kita nak halau, ke mana nak halau mereka pergi? Myanmar tidak terima, ke Bangladesh pun tidak iktiraf sebagai rakyat,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini pada Selasa.
Pada Sabtu, seramai 15 individu bersama aktivis Abbe Hae ditahan untuk diambil keterangan selepas menganjurkan aktiviti gempur Rohingya di sekitar Kota Bharu.
Mohd Yusoff berkata, lima laporan polis iaitu tiga di Kota Bharu dan dua di Tanah Merah diterima terhadap kumpulan aktivis berkenaan termasuk membabitkan pencerobohan, pecah rumah serta samun.
Katanya, siasatan terhadap kumpulan itu dijalankan mengikut prosedur standard bagi membantu polis mendapatkan maklumat dan melengkapkan kertas siasatan berdasarkan laporan yang diterima.
“Ini prosedur biasa termasuk merampas telefon bimbit untuk mendapatkan maklumat, proses kawad cam, pengambilan cap jari itu semua tindakan untuk melengkapkan kertas siasatan.
“Ada satu kes membabitkan mangsa wanita warga Bangladesh yang kerugian rantai emas bernilai kira-kira RM1,000, kami siasat sebagai kes samun,” katanya.
Menurutnya, penganjur juga perlu bertanggungjawab terhadap aktiviti yang dianjurkan terutama apabila kehadiran orang ramai meningkat sehingga sukar dikawal.
Katanya, hebahan melalui media sosial boleh menyebabkan lebih ramai individu hadir, termasuk mereka yang tidak diketahui latar belakang atau tujuan sebenar.
“Ini yang berlaku, ada dalam kumpulan mereka itu, datang dari mana-mana, lakukan samun dan sebagainya sewaktu kononnya menyerbu Roghinya,” ujar beliau.
Beliau menjelaskan isu pelarian Rohingya tidak boleh diselesaikan secara mudah dengan menghalau mereka keluar dari Malaysia kerana perkara itu turut membabitkan persoalan penerimaan negara asal dan pengurusan pelarian oleh kerajaan.
Katanya, masyarakat perlu memberi ruang kepada kerajaan menguruskan isu berkenaan, termasuk cadangan pelaksanaan Dokumen Pendaftaran Pelarian yang melibatkan pendaftaran biometrik bagi membantu pihak berkuasa mengenal pasti individu sekiranya berlaku jenayah.