Pelantikan Malek Razak sebagai PAT baharu langkah strategik pacu pembaharuan ATM

Iklan
Majlis pelantikan dan pemakaian pangkat Malek Razak disempurnakan oleh Mohamed Khaled (kiri).

KUALA LUMPUR – Pelantikan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24 dilihat sebagai langkah strategik untuk memacu pembaharuan institusi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta memperkukuh semula keyakinan rakyat terhadap organisasi pertahanan negara.

Majlis pelantikan dan pemakaian pangkat yang berlangsung hari ini di Auditorium Wisma Pertahanan telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Iklan
Iklan

Markas ATM Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan bahawa dalam landskap keselamatan semasa yang semakin kompleks, kepimpinan tertinggi ATM bukan sahaja dituntut berwibawa dari sudut operasi, malah berperanan sebagai pemacu nilai dan prinsip profesionalisme ketenteraan.

“Pelantikan baharu ini membawa mandat penting untuk memperkukuh tatakelola, akauntabiliti serta disiplin kepimpinan dalam usaha melaksanakan penetapan semula institusi secara menyeluruh.

Iklan

“Pendekatan kepimpinan melalui teladan, ketegasan terhadap salah laku, serta sokongan terhadap sistem semak dan imbang dilihat sebagai asas penting dalam memulihkan kekuatan dalaman organisasi,” menurut kenyataan itu.

Majlis pelantikan dan pemakaian pangkat Malek Razak disempurnakan oleh Mohamed Khaled (kiri).

Iklan

Menurut kenyataan sama, pelantikan tersebut turut dilihat sebagai peluang strategik untuk melaksanakan penetapan semula institusi secara menyeluruh, meliputi budaya kerja, sistem pengurusan dan amalan kepimpinan.

“Tumpuan terhadap pembinaan semula kepercayaan dalaman dan luaran diyakini mampu memperkukuh kesiapsiagaan ATM sebagai sebuah pasukan pertahanan yang profesional, berintegriti dan dihormati,” menurut kenyataan itu lagi.

Malek Razak merupakan lulusan Diploma Strategik dan Keselamatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sarjana Pengajian Pertahanan (Master of Arts in Defence Studies) dari King’s College London serta Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) dari UKM.

Perkhidmatan beliau bermula pada 1985 sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military College, Sandhurst, United Kingdom sebelum ditauliahkan pada 11 Disember 1987 dengan pangkat Leftenan Muda.

Sepanjang hampir 40 tahun perkhidmatan, beliau telah mempamerkan kebolehan, keupayaan, kecemerlangan serta kepimpinan yang berwibawa.

Beliau memulakan kerjaya sebagai Ketua Platun di Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja sebelum berkhidmat dalam pelbagai pasukan serta memegang pelbagai jawatan di peringkat pemerintah dan staf.

Jawatan terakhir beliau ialah Panglima Medan Barat Tentera Darat.

Dengan pengalaman luas serta kredibiliti yang dimiliki, pelantikan ini diyakini akan memperkukuh kepimpinan dan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mendepani cabaran pertahanan negara.

Pada masa sama, ia dijangka dapat memulihkan serta memperkukuh wibawa ATM melalui kepimpinan berteraskan integriti dan profesionalisme, sekali gus mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara.