SHAH ALAM - Majoriti pengguna media sosial tidak bersetuju dengan cadangan berhubung kajian kebolehlaksanaan pilihan raya jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Hasil tinjauan undian (poll) yang dijalankan oleh Sinar Harian di pelbagai platform media sosial sejak 2 Februari lalu mendapati kira-kira 62.1 peratus daripada 491 responden menolak cadangan berkenaan, kecuali di platform X (Twitter) yang menunjukkan sokongan lebih tinggi.
Di Facebook, sebanyak 84 peratus responden tidak bersetuju dengan cadangan tersebut manakala hanya 16 peratus menyatakan persetujuan.
Corak sama turut direkodkan di Instagram apabila 66 peratus responden tidak bersetuju berbanding 34 peratus yang bersetuju.
Penolakan juga jelas di YouTube dengan 61 peratus responden menyatakan tidak bersetuju, manakala 39 peratus lagi menyokong cadangan pilihan raya bagi jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Sementara itu, di platform Threads, pandangan pengguna dilihat hampir seimbang apabila 52 peratus responden tidak bersetuju dan 48 peratus bersetuju.
Bagaimanapun, sentimen berbeza direkodkan di platform X apabila 61.7 peratus responden menyatakan persetujuan terhadap cadangan tersebut, manakala 38.3 peratus tidak bersetuju, menjadikannya satu-satunya platform yang menunjukkan sokongan majoriti.
Memetik laporan portal Malaysiakini pada Ahad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dilaporkan berkata, pilihan raya sedemikian dilihat lebih praktikal berbanding memilih ramai ahli majlis bandar raya menerusi pilihan raya kerajaan tempatan.
Menurut beliau, struktur pentadbiran sedia ada melibatkan terlalu banyak unit, dengan ibu negara ketika ini ditadbir secara serentak oleh seorang Datuk Bandar, ahli-ahli Parlimen serta penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).