SHAH ALAM - Seorang pakar ekonomi mengingatkan kerajaan supaya menumpukan kepada poket rakyat kerana data menunjukkan kadar gaji masih rendah walaupun kedudukan ekonomi negara baik.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Noor Azlan Ghazali berkata, berdasarkan data struktur upah sektor formal iaitu pekerja bermajikan dan berdaftar bagi Mac 2025 menunjukkan hampir 50 peratus daripada keseluruhan tujuh juta pekerja menerima gaji kurang daripada RM3,000 sebulan.
Jelas beliau, bagi kumpulan dengan pendapatan RM1,500 hingga RM1,999 adalah sekitar 22.5 peratus, menjadikan ia sebagai jumlah yang sangat rendah untuk memenuhi keperluan hidup hari ini.
"Unjuran pertumbuhan ekonomi negara pada tahun 2025 dijangka 4.9 peratus dengan kadar pengangguran rendah sebanyak 2.9 peratus, terendah sejak 2014.
"Kadar inflasi pula menunjukkan 1.6 peratus juga terendah sejak 2020 manakala pelaburan yang diluluskan melonjak kepada RM384 bilion pada tahun 2024.
"Secara umumnya prestasi ekonomi makro negara adalah baik, tetapi soalan penting, apakah maknanya kepada rakyat sekiranya ia dapat diterjemahkan dengan menambah pendapatan ke poket rakyat melalui gaji atau upah,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Menurut beliau, manfaat sebenar pembangunan masih belum benar-benar dirasai sebahagian besar rakyat meskipun prestasi ekonomi makro negara terus menunjukkan tanda-tanda kukuh.
"Daripada jumlah pendapatan negara kini hanya sekitar 33 hingga 34 peratus diagihkan kepada pekerja.
"Ekonomi Madani menyasarkan peratusan pendapatan buruh mencapai 45 peratus menjelang tahun 2030 dan sekitar 16 peratus adalah untuk golongan berpendapatan rendah (B40)," ujarnya lagi.
Noor Azlan berpandangan bahawa faktor yang menyumbang kepada gaji rendah (terherot ke bawah) ialah lambakan pekerja asing yang mana kehadiran mereka mengasak gaji ke bawah dalam sektor itu.
"Kerajaan perlu beri tumpuan kepada ehwal lebih mikro iaitu poket rakyat yang mana prestasi makro yang baik belum menjamin rakyat selesa.
"Tidak cukup dengan gaji minimum, perlu tumpu kepada gaji selesa yang amat diperlukan rakyat untuk kehidupan yang juga selesa," katanya.