Dua anggota sindiket seludup PATI ditahan

Iklan
Dua lelaki dipercayai anggota sindiket penyeludupan migran ditahan bersama lima warga Myanmar yang dibawa masuk melalui Sungai Golok dalam Op Serkap dua hari bermula Ahad. Foto: Imigresen

KOTA BHARU - Dua lelaki dipercayai anggota sindiket penyeludupan migran ditahan bersama lima warga Myanmar yang dibawa masuk melalui Sungai Golok dalam Op Serkap dua hari bermula Ahad.

Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Kelantan, Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, operasi bermula jam 12 tengah malam disertai 19 pegawai dan anggota dari Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia negeri Kelantan.

Iklan
Iklan

“Hasil serbuan, kami menahan dua lelaki warga tempatan bersama lima warga Myanmar.

“Mereka ini dipercayai berperanan sebagai pengangkut dalam rangkaian sindiket penyeludupan migran berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Menurutnya, kedua-dua suspek tempatan ini disiasat di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang terlibat secara lebih menyeluruh.

Dua lelaki tempatan yang ditahan kerana dipercayai terlibat sindiket penyeludupan migran. Foto: Imigresen

Selain itu, lima pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang ditahan itu terdiri daripada dua lelaki dan tiga perempuan berusia antara 20 hingga 40 tahun.

Iklan

“Siasatan awal mendapati kumpulan PATI ini dipercayai diseludup masuk melalui pangkalan haram di Sungai Golok sebelum dibawa menaiki bot ke jeti Gok Kapur di Sungai Kelantan bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

“Mereka kemudian dipercayai akan dihantar menggunakan kereta ke lokasi transit di Kampung Raja, Seksyen Dua,” katanya.

Kesemua PATI berkenaan kini ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Nik Akhtarulhaq menegaskan, tindakan terhadap dua warga tempatan itu membuktikan pendirian tegas JIM Kelantan yang tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, khususnya rakyat tempatan yang cuba mengaut keuntungan mudah dengan menyeludup atau melindungi PATI.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya tampil menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PATI atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang bagi membantu pihak berkuasa mengekang jenayah penyeludupan migran di negeri ini.