Penemuan enam rangka mangsa bunuh: Polis tahan empat individu

Iklan
Polis menahan empat individu bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam membabitkan penemuan enam rangka manusia dalam sebuah rumah terbiar yang terbakar.

JOHOR BAHRU – Polis menahan empat individu bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam membabitkan penemuan enam rangka manusia dalam sebuah rumah terbiar yang terbakar di kawasan kebun kelapa sawit Kangkar Pulai, Skudai, sekali gus merungkai misteri kehilangan lima beranak yang dilaporkan sebelum ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kesemua suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita, kesemuanya warganegara Malaysia berusia antara 19 hingga 35 tahun, ditahan pada 21 Januari di sekitar kawasan Iskandar Puteri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati keempat-empat individu berkenaan mempunyai hubungan sebagai rakan penagih, selain semakan rekod mendapati kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, pada Selasa.

Iklan

Ab Rahaman berkata, kes terbongkar selepas seorang lelaki berusia 48 tahun membuat laporan polis pada jam 1.28 tengah hari, 9 Januari lalu, berhubung penemuan rangka manusia di sebuah rumah terbiar yang terletak dalam kebun kelapa sawit berkenaan.

Menurutnya, laporan diterima oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri ketika pengadu sedang berusaha menjejaki isterinya serta anak-anaknya yang telah lama terpisah dan dipercayai tinggal di rumah tersebut.

Iklan

“Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati enam rangka manusia ditemukan di dalam rumah yang telah terbakar.

“Bedah siasat oleh pasukan forensik mengesahkan rangka tersebut terdiri daripada dua orang dewasa iaitu seorang lelaki berusia 29 tahun dan seorang wanita berusia 35 tahun yang mempunyai hubungan kenalan,” katanya.

Tambah beliau, empat lagi mangsa merupakan anak kepada wanita berkenaan, iaitu seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, dua kanak-kanak perempuan berusia lima dan sembilan tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun.

Menurut Ab Rahaman, pihak forensik percaya kesemua mangsa telah dibunuh dan mayat mereka dibakar kira-kira tiga bulan lalu.

Beliau berkata, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara Johor dan keputusan dibuat untuk mendakwa dua suspek lelaki di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Dua lagi suspek dibebaskan dengan bon jaminan polis dan akan dipanggil sebagai saksi.

“Pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Rabu,” katanya.

Jika sabit kesalahan, hukuman yang boleh dikenakan adalah hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan serta prosiding mahkamah.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi talian hotline siasatan,” katanya.