ALOR SETAR - Motif pembunuhan seorang eksekutif operasi bank yang ditemukan maut dengan tiga kesan tikaman di sebuah rumah di Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara, di sini pada Isnin, masih dalam siasatan polis.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, mangsa berusia 52 tahun itu ditemui terbaring tidak sedarkan diri di bilik tidur rumah berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku antara jam 5 hingga 8 pagi dan hanya disedari oleh anak mangsa selepas bangun tidur.
“Pemeriksaan awal mendapati terdapat tiga kesan tikaman termasuk di bahagian dada dan tangan yang dipercayai akibat senjata tajam, kemungkinan gunting atau pisau,” katanya.
Beliau berkata, ketika kejadian, mangsa berada di rumah bersama tiga anaknya yang berusia antara 10 hingga 18 tahun.
Menurut Adzli, seorang lagi anak mangsa berusia 29 tahun yang tinggal berasingan dipercayai telah datang ke rumah sekitar waktu kejadian dan mengetuk pintu.
“Sebaik pintu dibuka oleh salah seorang adiknya, mereka kembali sambung tidur. Namun, apabila bangun kemudian, mangsa didapati terbujur kaku manakala anak sulung itu telah tiada,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, pemeriksaan lanjut ke atas tubuh mangsa mendapati kesan tikaman dan pukulan.
“Pasukan Forensik dan Unit K9 turut membantu siasatan. Terdapat tiga kesan tikaman iaitu di bahagian perut, atas payudara kiri serta pergelangan tangan.
“Mangsa juga mengalami kecederaan di kepala dan muka, lebam di bahagian bahu kiri dan atas dahi serta luka di tapak tangan kiri,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati beg tangan milik mangsa yang mengandungi barang kemas, wang tunai dan telefon bimbit dikesan hilang.
Motif pembunuhan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Polis kini giat mengesan suspek terlibat dan meminta Amirul Shafiq Shamsul Zahari, 29, yang juga anak sulung mangsa, untuk tampil membantu siasatan.