DI atas kertas, pasaran buruh Malaysia kelihatan berada dalam keadaan yang stabil. Kadar pengangguran kekal terkawal, peluang pekerjaan masih wujud dan aktiviti ekonomi terus bergerak seiring pemulihan pasca pandemik serta sokongan dasar fiskal dan monetari.
Namun di sebalik angka statistik yang kelihatan meyakinkan itu realiti sebenar di lapangan menceritakan naratif yang lebih kompleks.
Aduan demi aduan yang disuarakan pekerja mendedahkan bahawa isu paling asas dalam hubungan pekerjaan seperti gaji, jam kerja, keselamatan pekerjaan dan layanan majikan masih belum ditangani sepenuhnya dalam landskap pekerjaan moden.
Lebih membimbangkan aduan pekerja ini bukan sekadar konflik terpencil atau isu peribadi sebaliknya berfungsi sebagai petunjuk awal kepada masalah struktur dalam kualiti pekerjaan negara.
Apabila gaji lewat dibayar dianggap perkara biasa, jam kerja melampau dinormalisasikan dan kontrak pekerjaan semakin kabur produktiviti serta komitmen tenaga kerja mula terhakis secara sistemik.
Dalam konteks ini, analisis terhadap aduan utama pekerja bukan bertujuan mencari salah sebaliknya menilai sejauh mana pasaran buruh negara benar-benar mampan dan sama ada ia masih mampu menyokong daya saing ekonomi negara dalam jangka panjang.
Berkongsi pandangan, Ahli Ekonomi THE FUTURE, Muhamad Zharif Luqman berkata, berdasarkan pola aduan buruh yang direkodkan melalui saluran rasmi Kementerian Sumber Manusia sepanjang 2025 terdapat lima aduan utama yang kerap disuarakan pekerja di Malaysia.
Menurut beliau, lima aduan tersebut masih tertumpu kepada isu asas kualiti pekerjaan iaitu gaji dan bayaran berkaitan, jam kerja serta bayaran kerja lebih masa (OT), pelanggaran kontrak pekerjaan, penamatan kerja tanpa prosedur yang jelas serta layanan tidak adil di tempat kerja termasuk diskriminasi dan gangguan.
“Aduan berkaitan gaji seperti gaji lewat dibayar, potongan tidak sah atau ketidakpatuhan gaji minimum memberi kesan paling langsung kepada produktiviti kerana ia menjejaskan kestabilan kewangan pekerja dan motivasi harian.
“Isu jam kerja berlebihan dan kerja lebih masa (OT) yang tidak dibayar pula meningkatkan risiko keletihan serta burnout sekali gus menurunkan kualiti kerja dan meningkatkan kadar kesilapan serta ketidakhadiran pekerja,” katanya kepada Bisnes Sinar.
Tambah beliau, pelanggaran kontrak dan penamatan kerja tanpa notis mencetuskan rasa tidak selamat dalam kalangan pekerja, melemahkan kepercayaan terhadap majikan dan mengurangkan komitmen jangka panjang.
“Kesannya, kepuasan kerja menurun dan kadar keluar masuk pekerja meningkat yang akhirnya menjejaskan produktiviti organisasi secara keseluruhan,” katanya.
Mengulas faktor penyumbang kepada aduan tersebut, Muhamad Zharif menjelaskan peningkatan dan kekal tingginya aduan pekerja berpunca daripada gabungan tekanan ekonomi, kelemahan tadbir urus tempat kerja dan perubahan struktur pasaran buruh.
Tekanan kos sara hidup
Ujarnya, tekanan kos sara hidup menjadikan pekerja semakin sensitif terhadap isu gaji dan bayaran. Apabila pendapatan sebenar terhakis, sebarang kelewatan atau ketidakpatuhan terhadap gaji minimum segera dirasai dan mendorong kepada aduan.
Berikutnya, pematuhan undang-undang buruh yang tidak seragam khususnya dalam kalangan syarikat kecil dan rantaian subkontrak menyebabkan isu berkaitan jam kerja, OT dan kontrak pekerjaan terus berulang.
“Dalam banyak kes, masalah berpunca bukan semata-mata niat tetapi kelemahan pengurusan sumber manusia, dokumentasi dan kefahaman undang-undang di peringkat pengurusan pertengahan,” katanya.
Pekerja kontrak
Selain itu, pertumbuhan pekerjaan kontrak dan fleksibel turut meningkatkan risiko ketidakjelasan terma pekerjaan.
Apabila kontrak jangka pendek digunakan secara berulang untuk kerja yang hakikatnya bersifat tetap, jurang antara jangkaan pekerja dan amalan majikan menjadi semakin ketara.
Tidak ketinggalan, akses kepada saluran aduan yang semakin mudah juga menyumbang kepada peningkatan pelaporan. Situasi ini bukan petanda negatif semata-mata, sebaliknya mencerminkan tahap kesedaran pekerja terhadap hak mereka yang semakin meningkat.
Melihat dari sudut syarikat, impak aduan pekerja ini memberi kesan langsung kepada kos operasi dan daya saing.
“Syarikat berdepan kos pengurusan aduan, risiko tindakan penguatkuasaan, gangguan operasi serta kos penggantian pekerja akibat kadar keluar masuk yang tinggi.
“Lebih kritikal, isu ini menjejaskan jenama majikan dan keupayaan organisasi untuk menarik serta mengekalkan bakat khususnya dalam pasaran buruh yang semakin kompetitif,” katanya.
Melihat pula dari perspektif pasaran buruh secara keseluruhan, aduan yang berterusan mencerminkan jurang ketara antara pertumbuhan pekerjaan dan kualiti pekerjaan.
Jelas Muhamad Zharif, walaupun kadar pengangguran kekal rendah, aduan yang tinggi memberi isyarat bahawa sebahagian pekerjaan yang diwujudkan masih rapuh dari segi kestabilan, perlindungan dan kesejahteraan.
Sekiranya tidak ditangani secara menyeluruh, keadaan ini berisiko melahirkan pasaran kerja yang bersifat jangka pendek, kadar mobiliti pekerja yang tinggi serta pelaburan latihan yang rendah sekali gus menekan pertumbuhan produktiviti nasional dan daya saing ekonomi negara dalam jangka panjang.
“Justeru, di peringkat syarikat, keutamaan perlu diberikan kepada tadbir urus pekerjaan yang asas tetapi konsisten khususnya disiplin pembayaran gaji, pengurusan jam kerja yang telus dan kontrak pekerjaan yang jelas.
“Banyak aduan sebenarnya boleh dicegah sekiranya isu-isu asas ini diurus dengan baik,” katanya.
Pada masa sama, latihan pengurusan juga perlu diberi penekanan kerana sebahagian besar konflik berlaku di peringkat penyeliaan harian.
Pengurus barisan hadapan perlu dilatih bukan sahaja dari sudut produktiviti tetapi juga pematuhan undang-undang buruh, komunikasi berkesan dan pengendalian konflik secara adil.
Muhamad Zharif turut menegaskan, penguatkuasaan undang-undang buruh kekal penting sebagai garis dasar perlindungan khususnya bagi kes gaji tidak dibayar, jam kerja melampau dan penamatan tidak sah.
Namun, penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi tanpa disokong oleh amalan dalaman syarikat yang baik.
“Secara keseluruhan, pengurangan aduan pekerja perlu dilihat bukan sebagai beban kos sebaliknya sebagai pelaburan strategik dalam produktiviti, kestabilan tenaga kerja dan daya saing jangka panjang ekonomi Malaysia,” katanya