DI kala suasana ekonomi global terus dicemari dengan kebimbangan ketidaktentuan dasar Amerika Syarikat (AS) serta situasi politik di negara Jepun, pasaran modal global dilihat begitu memberangsangkan.
Pernyataan ini berdasarkan pasaran ekuiti utama dunia seperti di AS, Eropah dan juga di Asia. Indeks utama seperti S&P 500 meningkat sebanyak 1.8 peratus dan telah melepasi paras tertinggi dalam sejarah iaitu 7,002.28 pada minggu terakhir Januari 2026.
Begitu juga dengan pasaran saham di Malaysia indeks FBMKLCI mencecah paras 1,771.3 mata pada 27 Januari yang lalu iaitu paras tertinggi semenjak pada 9 Oktober 2018.
Para pelabur asing juga mencatatkan belian bersih dalam pasaran ekuiti negara yang berjumlah RM1.37 bilion antara 2 Januari sehingga 29 Januari 2026.
Tidak kurang juga pasaran mata wang yang mana nilai ringgit terus mengukuh dolar AS dan juga mata wang di rantau Asia ini.
Pendek kata, pasaran modal dan pasaran mata wang seolah-olah memberi suatu ‘undi percaya’ kepada ekonomi negara sehinggakan mereka terus memasuki pasaran tempatan.
Persoalan seterusnya apakah kita harus berpuas hati dan mendabik dada dengan angka-angka ini? Sudah tentu tidak.
Pertumbuhan ekonomi tahun 2025 bertumbuh pada kadar 4.9 peratus sememangnya melebihi jangkaan rasmi iaitu antara 4.0 peratus hingga 4.8 peratus.
Manakala kadar pengangguran pula kekal rendah 2.9 peratus setakat November 2025. Namun, permasalahan struktur seperti kenaikan kos sara hidup dan tahap pertumbuhan gaji yang perlahan masih membelenggu rakyat.
Permasalahan institusi yang menyaksikan aktiviti rasuah dan salah guna kuasa juga masih kedengaran.
Isu ini jika dibiarkan boleh menyebabkan rasa yang kurang senang dalam kalangan rakyat jelata disebabkan jurang pendapatan antara yang kaya dan miskin akan terus melebar.
Data pendapatan bulanan menengah isi rumah pada tahun 2024 adalah RM7,017 dan ia meningkat jika dibandingkan pada tahun 2022 iaitu RM6,338.
Namun, sekiranya kita mengambil angka ini dan dibahagikan dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) iaitu indeks yang menunjukkan tingkat harga umum, maka gambarannya berlainan.
Ini adalah kerana hasil bahagi angka ini akan menunjukkan tahap kuasa beli rakyat. IHP pada tahun 2024 dan 2022 adalah 1.33 mata dan 1.27.
Apabila pendapatan dibahagikan dengan IHP, maka pendapatan benar adalah RM5,284 dan RM4,981 bagi tahun 2024 dan 2023.
Perhatikan jika angka ini ditolak dengan pendapatan yang dilaporkan maka hasil tolaknya adalah RM1,733 dan RM1,357 yang melambangkan bagaimana kuasa beli semakin merosot.
Untuk memahami dengan mudah, bayangkan pada tahun 1990, RM1 boleh membeli karipap 20 sen sekeping.
Apabila dibahagi RM1 dengan 20 sen, ia bermakna pendapatan benar adalah RM5 kerana sekiranya harga karipap adalah RM1 maka seseorang itu boleh membeli 5 biji karipap pada tahun 1990.
Bergerak ke hadapan, sekiranya harga karipap sudah naik ke RM1 pada tahun 2026, maka dengan RM1, pendapatan benarnya adalah RM1 kerana dengan wang RM1, seseorang itu hanya boleh beli sebiji karipap. Dalam kes ini, kuasa beli telah turun sebanyak RM4.
Justeru, reformasi ekonomi dan institusi diperlukan bagi memastikan kerajaan dan jenteranya boleh berfungsi dengan baik untuk membangunkan negara secara cekap, adil dan telus.
Sekiranya ini dapat dijalankan, produktiviti negara boleh meningkat dan menterjemahkan pendapatan benar yang lebih tinggi. Oleh itu, kerajaan perlu konsisten dalam agenda reformasi dan rakyat perlu ada set minda yang positif untuk maju.